join admya di FB

Isra' Mikraj

Assalammualaikum buat semua,
Setiap kali 27 rejab kita pasti ingat tentang hari Isra' Mikraj.Hari di mana Rasulullah s.a.w bertemu dengan Allah.Apa kata kita renungkan sejenak dan mengambil manfaat daripada peristiwa Isra' Mikraj.

SETIAP Nabi dan Rasul ada keistimewaan tersendiri yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka. Keistimewaan itu sebagai bukti atas kebenaran misi dakwah mereka sebagai utusan Allah yang sesuai pada zaman masing-masing. Dalam al-Quran ditegaskan maksudnya: “Rasul Kami lebihkan sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.” – (Surah al-Baqarah: 253)

Dalam ayat lain bermaksud: “Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.” – (Surah al-Israk: 55)

Syeikh Abdullah Basmeih ketika menjelaskan ayat 55 Surah al-Israk ini dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman berkata, Allah lebih mengetahui akan keadaan sekalian makhluk-Nya dan memilih di antara mereka yang layak menjadi Rasul-Nya. Ini ialah sebagai menolak fahaman kaum kafir yang berasa hairan bagaimana Nabi Muhammad SAW terpilih menjadi Nabi dan mendapat wahi (al-Quran). Kemudian diterangkan bahawa sesetengah daripada Nabi itu dilebihkan darjatnya atas setengahnya yang lain, disebabkan beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka. Misalnya Nabi Daud AS, keistimewaannya bukan disebabkan kekuasaannya mengendalikan kerajaan saja malah kerana Kitab Zabur yang diturunkan kepadanya.

Demikian pula kelebihan Nabi Muhammad SAW menjadi semulia-mulia Nabi ialah dengan kitab al-Quran yang diturunkan kepadanya dan dengan tugasnya sebagai pesuruh Allah kepada umat manusia seluruhnya serta dengan sifatnya sebagai Nabi Allah yang akhir sekali. Umatnya pula menjadi sebaik-baik umat yang terbentuk di muka bumi, seperti disebut dalam al-Quran ialah kerana mereka menyuruh dengan perkara yang baik dan melarang perkara yang buruk serta mereka beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Kita hanya mengetahui beberapa kelebihan saja daripada Nabi dan Rasul yang diutus Allah SWT kerana tidak semua kisah Nabi dan Rasul diceritakan kepada Nabi Muhammad di dalam al-Quran. Al-Quran menerangkan maksudnya: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan Rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantara).” – (Surah al-Nisa: 164)

Dalam ayat lain juga disebutkan maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepadamu.” – (al-Mu’min: 78)
Allah menjadikan Nabi Ibrahim AS kesayangan-Nya (Surah al-Nisa: 124); berbicara secara langsung dengan Nabi Musa AS (Surah al-Nisa: 164; dan memberi Nabi Isa AS beberapa mukjizat dan diperkuat dengan Malaikat Jibril (Surah al-Baqarah: 253) adalah beberapa contoh kelebihan Allah yang dikurniakan kepada Nabi dan Rasul-Nya.
Akan tetapi berbanding kelebihan di atas dengan kelebihan perjalanan Israk dan Mikraj, junjungan kita Nabi Muhammad SAW maka kelebihan Israk dan Mikraj lebih menonjol dan komprehensif. Dalam peristiwa Israk Mikraj, ada bukti bahawa Nabi Muhammad SAW adalah kesayangan Allah. Dalam peristiwa Israk Mikraj ada percakapan langsung dengan Nabi Muhammad SAW dan dalam peristiwa itu ada mukjizat agung Nabi Muhammad SAW bersama Malaikat Jibril. Subhanallah! Bagaimana kita perhatikan tiga esensi kelebihan tiga orang Rasul pilihan ini hanya ada dalam satu esensi kelebihan seorang Rasul akhir zaman dalam peristiwa Israk Mikraj yang berlaku 1432  tahun yang lalu.

Bahkan yang lebih istimewa lagi daripada perjalanan Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW telah melihat Tuhannya. Al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadis dalam Kitab al-Ru’ya maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutamakan Ibrahim menjadi Khalilullah, mengutamakan Musa dengan berkata-kata kepada-Nya, dan mengutamakan Muhammad dengan memperlihatkan wajah-Nya.” Dalam hadis lain, Imam Ahmad meriwayatkan maksudnya: “Telah berkata Rasulullah SAW: “Aku telah melihat Tuhanku Azzawajalla.”
Ketika Allah akan menceritakan kelebihan Rasul kesayangan-Nya dalam peristiwa Israk Mikraj, Dia memulakannya dengan perkataan ’Subhanallah’, Maha Suci Allah. Ketika Allah akan menceritakan kelebihan Rasul kesayangan-Nya dalam peristiwa Israk Mikraj, Dia memulakannya dengan sebuah sumpah ‘Wannajmi’, Demi bintang. Ini berlainan dengan cara menceritakan kelebihan Nabi dan Rasul sebelumnya yang hanya dalam bentuk kata berita.

Allah berfirman maksudnya: “Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui.” – (Surah al-Isra’: 1)

Dalam satu hadis yang panjang mengenai perjalanan Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “… dari situ aku seorang diri yang meneruskan perjalanan ke Sidratul-Muntaha, suatu pohon yang dedaunnya selebar telinga gajah, dan buah-buahannya berjuntai-juntai seperti dari atas para. Apabila pohon Sidratul-Muntaha itu ditutup dengan perintah Allah apa yang menutupnya, maka tiada seorang pun daripada makhluk Allah yang sanggup menyifatkan kecantikan dan keindahannya. Maka di situlah Allah mewahyukan kepadaku apa yang hendak diwahyukan…” – (Hadis riwayat Ahmad)

Ibnu Hisyam dalam kitab Sirah Ibni Hisyam ada menulis: “Apa yang berlaku dan disebutkan mengenai Israk Nabi Muhammad SAW, ia adalah ujian dan cubaan serta suatu perintah membuktikan kekuasaan Allah. Ada di dalamnya contoh dan tauladan bagi orang yang luas pemikirannya, adalah petunjuk dan rahmat serta ketetapan hati bagi orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, dan sebagai lambang daripada perintah Allah yang diletakkannya atas keyakinan.

Maka Allah mengisrakkan Nabi Muhammad SAW ke mana yang dikehendaki-Nya dan menurut kehendak-Nya supaya dapat Allah menunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW keterangan-Nya yang penting. Maka Nabi Muhammad SAW pun dapat berbagai-bagai perkara dan urusan Allah yang semuanya itu membuktikan kekuasaan Allah yang Maha Besar, dan kudrat-Nya yang mencipta dan menjadikan apa saja yang Dia mahu tanpa kecuali.”

Lantaran baginda menjadi Rasul yang paling sempurna, maka baginda dipilih Allah menjadi orang yang paling hampir kepada-Nya. Baginda melangkah petala bumi dan langit, melintasi seluruh wajah alam ini lalu sampai ke tempat yang tidak akan sampai kepadanya seorang manusia pun. Malah, baginda sampai ke tempat yang tidak sampai kepadanya Jibril AS sekali pun. Baginda sampai ke tempat yang paling hampir kepada Allah seperti yang disebut oleh al-Quran maksudnya: “Maka jaraknya antara anak panah dengan busurnya, atau lebih dekat daripada itu.” – (Surah l-Najm: 9)

Almarhum Abdul Halim Mahmud, bekas Syeikh al-Azhar dalam bukunya al-Israk wa al-Mikraj menulis pada bahagian pendahuluan: “Sesungguhnya kaum Muslimin ketika meraikan peristiwa ini (Israk Mikraj) memandangkan sebagai suatu peristiwa sejarah yang dimuliakan. Sesudah itu secara sambil lalu mereka mengisytiharkan bahawa peristiwa itu adalah suatu mujizat utama yang berlaku pada junjungan kita Nabi Muhammad SAW maka mereka pun menunjukkan kelebihan-kelebihan peristiwa itu serta menerangkan tempatnya yang utama di dalam sejarah Islam. Selesai saja mereka menerangkan apa yang perlu dalam aspek ini, mereka berasa puas hati, seolah-olah mereka memenuhi kewajipan mereka terhadap peristiwa besar itu.
Mereka pun mengatakan terhadap peristiwa itu apa yang ingin mereka mengatakan. Habis perkara! Sebenarnya peristiwa Israk Mikraj itu lebih luas dan lebih umum daripada ia menjadi suatu peristiwa sejarah semata, dan sesudah itu tidak ada lagi yang harus dikata dan dibicarakan. Ia adalah suatu gambaran bagi kehidupan Muslim, dan mengandungi berbagai-bagai nasihat dan contoh tauladan yang hampir tiada dikenali oleh manusia.” (Hal. 4)
Penghormatan tertinggi kepada junjungan kita dalam peristiwa Israk Mikraj ini membuahkan satu kewajipan paling mulia yang mesti dilaksanakan oleh manusia, iaitu solat sebagai buah tangannya. Imam al-Qusyairi berkata: Aku mendengar Ustaz Abu Ali al-Daqqaq berkata: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah membawa untuk umatnya Mikraj dengan penuh hakikatnya, dan solat itu sebenarnya adalah sama kedudukannya seperti Mikraj.
Mikraj yang berlaku atas diri baginda itu ada tiga peringkat iaitu dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa kemudian dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul-Muntaha, dan akhirnya dari Sidratul-Muntaha ke Qaba qausaini aw adna (ke tempat yang hampir sekali kepada Allah SWT)
Demikian pula solat itu ada tiga peringkatnya iaitu berdiri, rukuk dan sujud. Sujud itu adalah amalan yang paling dekat sekali kepada Allah SWT. Allah berfirman maksudnya: “Dan bersujudlah sambil mendekatkan diri.” – (Surah al-Alaq: 19) (Lihat al-Israk wa al-Mikraj, 73)

Demikianlah kita melihat peristiwa Israk Mikraj junjungan kita Nabi Muhammad SAW kali ini. Kita melihat betapa tinggi dan hormatnya kedudukan baginda pada sisi Allah. Jika kedudukan Baginda seperti itu dan kita sebagai umatnya, masih adakah di antara kita yang mengagungkan selain daripada Baginda? Masih adakah di antara kita yang mengidolakan orang selain daripada baginda? Masih adakah di antara kita yang menjunjung tinggi ajaran selain daripada ajaran Baginda? Bahkan, lunturkah kecintaan kita kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam?

artikel oleh iluvislam

Comments

  1. Tujuan anda tulis post ni adalah utk mpertahankn agama. Hal nu mmg ada pertikaian dr sudut sains..trutama bila myebut psl sayap. secara terang memberitahu kjahilan org dulu2 ttg pemahaman mereka.. persepsi mereka apabila naik le tempat tinggi mestilah dlm keadaan seperti burung (terbang)..sedangkn di luar atmosfera tiada lagi gunanya penggunaan sayap. lagi mgenai pjumpaan nabi dgn nabi2 di langit 1 hingga 7, sedangkan dipelajarinya bumi td mereka telah bjumpa semasa nabi s.a.w mgimamkn solat di masjidil aqsa (tapak saja blum ada masjid). adakah kelajuan 'kenderaan' nabi2 tsebut lbih laju drp buraq nabi s.a.w? penilaian kredibiliti cerita itu yg mjadi isu. tapi klu anda mgatakn "God did it"...maka tak perlu ada pbincangan atau di pihak anda utk mpertahanknnya. Dan akhir skali ttg langit yg bertingkat2, mpunyai pintu hingga tingkat yg ke-7. saya pnah dgr org menginterpretkan nilai 7 dlm bhsa arab bmksud byk bkn literal 7. tapi bcelaru apabila nabi s.a.w scara jelas mceritakn bhw baginda bjumpa dgn 7 org nabi di 7 pintu langit. tak pasti yg mna satu yg mahu diambil sbg literal,mna satu metafora. skali lagi, bkn mampu atau tidak manusia pergi ie langit tapi kredibiliti crita yg mjadi isu. pemahaman manusia skrg dlm smua disiplin ilmu mjadikn kita lebih peka dlm menilai ssuatu pkara.

    ReplyDelete

Post a Comment

haip.nak kena ni.anonymous tak diterima.comment as pilih name/url then letak nama.boleh kan yunk.tq