join admya di FB

Episode 20 Lafazkan Kalimah Cintamu


Assalamualaikum dan salam sejahtera... Aqilah tunjuk bakat masak nasi tomato. Agak2 jadi nasi apa ya?



Episode 20

Tengku Aqilah hanya menerap sahaja di dalam bilik sebaik balik dari pejabat tadi. Entah mengapa dia tidak ada mood untuk berjumpa dengan sesiapa. Kepalanya begitu berserabut memikirkan arah tuju hubungannya dengan Tengku Ryan Ameer. Jawapan suaminya tadi begitu menjengkelkan hatinya.
Jauh di sudut hari dia turut merasa hampa kerana impianny untuk menghadiahkan jam tangan pada suaminya tidak kesempatan. Yalah apalah sangat nilai jam tangannya itu jika dibandingkan dengan pemberian Tengku Natasha yang berganda-ganda mahal harganya.
Dia menguak perlahan-lahan rambutnya ke belakang, kepalanya disandar pada sofa. Dalam Tengku Aqilah ralit melayan perasaannya, pintu bilik diketuk. Mesti Kak Kembong nak ajak aku makan, bisik hatinya.
Lemah dia menjawab, “Masuklah pintu tak kunci.” Matanya dipejam.
“Qila, kenapa balik awal hari ni?”
Tengku Aqilah terus membuka matanya sebaik mendengar suara insan yang amat dihormati dan disayangi itu. Wajah papanya dipandang.
“Saja aje pa. Qila sakit kelapa sikit,” dalihnya.
Tengku Hisham sudah tersenyum.
“Sakit kepala ke atau sakit hati?”
Berubah wajah Tengku Aqilah bila diajukan soalan sebegitu. Kepalanya digeleng. “Mana ada, pandai aje papa ni. Qila cuma rasa tak berapa sihat, tu yang macam taka da mood ni,” jawab Tengku Aqilah. Dia sudah duduk tegak di depan kerusi roda papanya.
Tengku Hisham terus memegang tangan anak bongsunya. “Qila, jangan kita serabutkan kepala kita dengan masalah yang tak sepatutnya ada,” ujar Tengku Hisham lembut.
Tengku Aqilah tersenyum hambar mendengar kata-kata papanya itu.
“Masalah ni bukan sengaja nak diadakan malahan kalau dibiar tak mustahil ianya akan menghancurkan satu hubungan pa,” jelas Tengku Aqilah pula.
Tengku Hisham menarik nafasnya perlahan. Tangan anaknya ditepuk lembut.
“Masalah itu wujud kerana Qila takut dengan bayang-bayang sendiri. Qila tak yakin dengan diri Qila, kalau dengan diri sendiri pun Qila tidak ada keyakinan macam mana Qila nak yakin dengan orang lain, terutama sekali Ryan.”
“Tapi pa, Qila takut bersebab. Qila taku kehilangan Ryan pa, Qila… Qila tahu yang Qila tak akan mampu untuk bertanding dengan Kak Tasha, dia terlalu cantik pa, dia terlalu sempurna di mata Qila. Kami umpama langit dengan bumi.
Qila jadi buntu, jadi hilang arah dalam nak mempertahankan hak Qila, tapi dalam waktu yang sama Qila ada juga rasa yang Qila yang sebenarnya bersalah dalam hal ini. Qila tak ubah seperti merampas kekasih kakak sendiri, tapi Qila tak sanggup nak lepaskan Ryan pa. Qila dah beri hati Qila pada dia, Qila is sayangkan dia pa. Qila ni pentingkan diri ke pa?” Sayu suara Tengku Aqilah.
Tengku Hisham sudah tersenyum, kepala anaknya diusap lembut. “Dengar cakap papa ni nak. Tak salah untuk Qila pertahankan hak Qila, kita tolak isu Kak Tasha ke tepi, sebab di kala ini yang lebih berhak terhadap Ryan adalah Qila.
Kisah cinta mereka berdua dah berakhir, isu merampas atau dirampas tidak relevan langsung dalam masalah Qila ni, yang perlu untuk Qila fikirkan, cara untuk Qila menangani perasaan Qila sendiri. Sejauh mana Qila yakin pada kekuatan cinta kalian berdua.”
Tengku Aqilah tidak berkelip memandang papanya. Kata-kata papanya begitu menusuk ke dalam tangkai hatinya.
“Papa nak Qila renungkan ke dalam hati, sejauh mana tulus dan ikhlasnya kasih Qila pada Ryan dan Qila sendiri harus juga beirani untuk meletakkan kepercayaan pada suami. Papa akui memang ada perempuan yang terluka atas kepercayaan yang diberi pada suami mereka namun itulah risiko yang kita perlu bersedia bila kita melangkah ke alam rumah tangga. Tak semua orang bernasih baik dan tak semua orang jugak bernasib malang, tapi dalam keadaan apa sekalipun dalam sesuatu perhubungan keyakinan di antara satu sama lain perlu ada.”
Tengku Aqilah sudah menggigit bibir, gayanya seperti orang sedang berfikir, namun masih belum ada suara yang terbit dari kerongkongnya.
Tengku Hisham sudah tersenyum memandang anaknya itu.
“Dalam keadaan apa sekali pun suami perlu dihormati nak. Qila harus yakin pada diri sendiri dan pada Ryan juga. Kalau Qila sayangkan dia, layan dia yang sewajarnya. Jangan sakiti hatinya dengan perkara yang remeh-temeh begini, dengar nasihat papa ni nak. Kita tak akan mampu untuk mengawal pergerakan dia, cukup Qila memegang hatinya sahaja kerana di situlah kasih yang sebenarnya.
Percayalah nak, walau sejauh mana pun Ryan pergi, dia pasti akan kembali pada Qila jua sebab hatinya hanya ada pada isterinya ini. So mulai hari ini papa tak nak tengok lagi Qila bersedih hati. Qila mesti ceria. Papa tahu anak papa ni kuat orangnya,okey?”
Tengku Aqilah begitu sebak mendengarnya. Beberapa titis air mata membasahi pipi. Perlahan-lahan Tengku Hishma menyapu air mata itu.
“Terima kasih pa, terima kasih atas nasihat yang cukup bermakna ni. Qila sayang papa…” Terus papanya dipeluk. Tengku Hisham turut membalasnya, bahu anaknya ditepuk lembut.
Si Tasha pau terlebih kukus tu sudah semestinyalah dia tak kan ketawa dengan segmen Raja Lawak Kak Kembong itu.
Tengku Aqilah mengerling pada Farhana yang sudah ketawa tahap koma 25 hari itu, sampaikan tanpa sedar kepala botak Si Azrul ditepuk-tepuknya. Azrul Botak yang turut ketawa itu terus terdiam, tapi yang peliknya dia tidak pula melarang. Isyh! Isyh! Begitu sekali dia hendak menjaga hati bakal kekasihnya ya. Cuma matanya yang terkelip-kelip, mungkin menahan rasa perit agaknya. Apalah sangat mewafatkan kepalanya jika itu yang boleh memikat hati perempuan yang digilainya.
“Wait, wait…” Tengku Aqilah akhirnya bersuara.
Suasana yang gamat tadi mula tenang kembali. Di kala itu baru Farhana menyedari tangannya mendarat cantik di kepala lelaki yang dibencinya itu. Patutlah tapak tangannya terasa geli semacam, rupanya dalam diam telah tertepuk kepala mentari di ufuk timur itu. Sebaik matanya bertembung dengan lelaki itu, Azrul Botak sudah tersengih memandangnya.
“Tak sangka dalam diam awak suka rupanya dengan kepala botak saya ni ya. Rasa romantiklah pulak.”
Farhana sudah menekan perutnya seperti menahan rasa loya sahaja.
“You all semua ni gelak tadi, sebab kelakar cerita Kak Tasha kea tau cerita Qila?”
Tengku Hisham yang mendiamkan diri sedari tadi bersuara, “Papa rasa, cerita Tuti tu yang kelakar. Tak ada kena-mengena Tasha atau Qila…”
Sebaik mendengarnya Tengku Aqilah terus bangun mendapatkan suaminya. “Abang pulak…”
Tengku Ryan Ameer sudah serba salah jadinya, “Sama macam papa kot.”
“Hisy! You all ni memanglah, kalau cerita Tuti tu mesti pasal Qila kan? Balik-balik mesti Qila aje yang terkena. Abang ni memang tak patut tau, dia pulak yang gelak paling kuat,” rengus Tengku Aqilah geram.
Tengku Ryan Ameer menarik tangan isterinya namun pantas dielak oleh Tengku Aqilah. Farhana sudah menyengih memandang mereka. “Kau jangan nak sengih-sengih Ana, kau pun sama. Gelak tak sedar diri sampai berbirat kepala si Azrul tu kau tepuk!”
“What?” Tengku Hisham, Tengku Ryan Ameer dan Shafiq bertanya serentak.
Farhana sudah memberikan jelingan maut pada sahabatnya. Tengku Aqilah yang perasan maklumat yang terbocor dari kerongkongnya it uterus menutup mulutnya dan sekali lagi ruang tamu itu gamat dengan tawa manusia dan yang paling menyakitkan hati Farhana bila tawa Azrul Botak yang paling kuat didengarnya.
Tengku Aqilah yang turut ketawa itu sudah terduduk di atas pangkuan suaminya. Sempat lagi suaminya mencubit pipi Tengku Aqilah yang tak segebu pipi Tasha pau kukus. Tengku Natasha yang menjadi pemerhati sudah memberikan jelingan lebih dari 150 kali. Mau juling Si Tasha ni nanti!
Kak Kembong yang seperti orang kebingungan di meja makan hanya menggeleng.
“Kesian diorang ni kan, cerita-cerita macam tu pun gelak macam nak maut. Mesti hormone terlebih dalam badan. Nasib baiklah hormone badan aku seimbang,” keluh Kak Kembong sendiri sebelum berlalu ke dapur.
Suasana sudah aman kembali, kini mereka semua berkumpul di meja makan. Tengku Aqilah sudah kembang-kempis hidungnya melihat nasi tomatonya yang sudah terhidang di atas meja itu. Rasa riak dan takbur mula mengaburi kmindanya.
“Jemput makan semua, jangan malu-malu. Tak payah ambil nasi putih tu, tak rasa apa. Ambik nasi yang merah tu, sampai menjilat celah-celah kuku nanti.” Begitu sekali Tengku Aqilah teruja dengan masakannya.
Kak Kembong yang berdiri di tepi meja sudah menaikkan ibu jarinya, pastinya memberikan sokongan pada anak muridnya itu.
Tengku Natasha yang menyenduk nasi tomato itu dulu, terus merasanya, “Oh my God! Nasi apa ni Qila? Eiii…. Tak lalulah nak makan!”
Terus yang lain terhenti untuk mencedoknya. Berubah wajah Tengku Aqilah bila dikritik sebegitu oleh mulut laser kakanya itu. Farhana sudah menjerling geram pada Tengku Natasha yang duduk di hadapannya. Terus nasi di dalam pinggangnya itu dirasa. Terpejam matanya seketika, namun Farhana pantas mengawal riak wajahnya.
“Best apa, okeylah ni Qila. Ala-ala rasa nasi tomyam sikit, masam-masam gitu. Alah aku tahu, kau saja tukar resipi kan? Biasalah masuk ni mesti ada perubahan, betul tak Kak Bong?”
Kak Kembong yang pada mulany berwajah pelik akhirnya mengangguk.
“Oh, memang aku saja bagi dia resipi ni. Nama nasi ni, nasi tomato ala-tomyam. Kau memang pandai Ana…” Namun kata-kata kedua-dua orang kuatnya itu masih tidak dapat menyingkirkan kekecewaan yang bertamu di wajah Tengku Aqilah itu.
Tengku Ryan Ameer yang duduk di sebelah perasan akan mendung di wajah isterinya, begitu juga dengan Tengku Hisham. Namun baru Tengku Ryan Ameer hendak menyuapkan nasi itu ke mulut, Tengku Natasha bersuara, “Okey macam ni, apa kata malam ni Tasha belanja you all semua makan nasi beriani gam. Tasha ada number phone restoran tu. Nanti Tasha call ya. Kesian you all tengah-tengah lapar terus tak selera nak makan. Nanti kejap ya Tasha call.” Tengku Natasha sudah bangun.
Namun elok kakinya hendak mengatur langkah Tengku Ryan Ameer bersuara, “Tasha, you jangan order untuk I tau, I tak suka nasi beriani. I ska sangat makan nasi tomato ni, lebih-lebih lagi isteri I yang masak. Ambikkan abang lauk ayam tu sayang.” Begitu sekali Tengku Ryan Ameer hendak menjaga hati isterinya.
Tengku Aqilah begitu tersentuh dengan kata-kata suaminya itu. “Abang, tak payahlah paksa diri abang. Nanti takut sakit perut pula.” Sayu suara Tengku Aqilah.
“Ana, hulurkan saya ayam masak merah tu.” Tengku Ryan Ameer tidak membalas kata-kata isterinya. Dia mengambil pinggan ayam yang dihulurkan oleh Farhana.
Farhana tersenyum senang melihatnya. “Tasha, aku pun tak nak,” ujar Farhana.
“Papa pun tak nak Tasha. Muka makan nasi beriani selalu. Bong cedokkan saya nasi tomato tu Bong. Tak sabar papa nak makan masakan anak papa ni.”
Azrul Botak turut bersuara, “Aku pun tak nak, kau nak ke Fiq? Penat Si Tasha tu menunggu.”
“Nak masuk kat mana lagi? Kan aku tengah makan ni, Tasha you memang suka makan nasi beriani ke? Kalau suka nanti I rekomen tempat yang paling best. Sedaplah awak masak Qila, selalunya nasi tomato cepat rasa mual tau tapi ni sedap ada rasa masam-masam sikitu, tu yang membuka selera jadinya.” Cara Shafiq memuji isterinya yang terlampau berlebihan itu menerbitkan rasa cemburu di hati Tengku Ryan Ameer pula.
“Aku pun tak nak Tasha. Aku pandai masak sendiri kalau aku nak makan, aku masak sendiri esok.” Kak Kembong bersuara pula.
“Kak Bong, bilang sama Cik Tasha, Tutu jugak enggak mau.” Lemah suara Tuti bergema dari dapur.
Tengku Natasha tanpa menunggu lama terus berlari ke atas dan seperti biasa pintu bilik menjadi mangsa kemarahannya. Tengku Aqilah cukup terharu dengan sokongan yang diberikan oleh mereka semua. Pantas air mata yang bertakung di kelopak matanya diseka.
Meja makan yang sunyi seketika itu kembali riuh dengan bermacam-macam cerita. Tengku Aqilah sempat lagi melirik pada suaminya yang begitu berselera sekali makan dengan kasih yang makin menggebu.
Manakala di dalam bilik, Tengku Natasha sudah menangis semahu-mahunya. Setelah agak reda kemarahannya, punat telefon bimbitnya ditekan. Lama dia berbual dengan bakal isteri Jin Afrit itu. Siapa lagi kalau bukan Si Sepiah @ Sherry. Sebaik mematikan talian, wajahnya yang tadi mengalahkan asam kelubi busuk itu kini mula mengorakkan senyuman. Dia yakin kali ini idea kawan baiknya itu pasti akan berjaya, dia begitu yakin sekali.

Tengku Natasha terus merebahkan kepalanya. Dia tersenyum dengan bibir yang dijongketkan. Cantik sangatlah tu. Isyh… seram-seram kuku jugak dibuatnya. Apalah rancangan jahat dia tu ya.

#Tengku Natasha menekan kepalanya yang mula terasa berdenyut itu.  Mana tidaknya, sebaik masuk ke dalam biliknya tadi dia melihat fail yang bertimbun di atas meja.  Kepalanya terus disandarkan pada kerusi.

Hari ini dia terpaksa juga mengakui yang Tengku Ryan Ameer makin jauh dari gapaiannya.  Buktinya sebelum ini jika dia pergi bercuti pasti segala kerjanya akan diarahkan oleh kekasihnya itu untuk diselesaikan oleh orang lain.  Tapi kini situasinya begitu berbeza, ditambah lagi dengan teguran papanya yang begitu menekan hati dan perasaannya malam tadi.

“Papa nak naik, mari Tasha papah.”

Tengku Natasha sudah memaut tangan papanya.  Tengku Hisham terus memegang tangan anaknya.

“Duduk kejap, papa nak cakap…”

Tengku Natasha terus mengangkat bahunya lalu punggungnya dilabuhkan di sebelah papanya.

“Tasha, papa harap apa yang papa nak cakap nanti Tasha terima dengan hati yang terbuka.  Terima sebagai nasihat seorang papa pada anaknya, boleh kan?”

Tengku Natasha sudah mengerutkan dahinya.

“Lain macam aje bunyinya pa?” soalnya pula.

Tengku Hisham menghela nafasnya perlahan.

“Papa tak suka apa yang Tasha lakukan tadi.”

“Tasha buat apa pa?  Isyh papa ni, mulalah tu,” gerutu Tengku Natasha, wajahnya sudah bertukar serius.

“Tasha bukan budak kecik tau.  Papa tahu, Tasha sendiri sedar apa yang Tasha dah buat,” tegur Tengku Hisham.

Tengku Natasha sudah menyandarkan badannya.  “Alah, kalau sebab Tasha terlepas cakap tadi, bukannya sengaja, tak kan itu pun nak jadi isu besar pa, atau pasal Tasha tak bagi hadiah pada Qila?  Okey franklu speaking, memang Tasha sengaja.  Alah, dia dah ada papa kan, Tasha tahu, dah macam-macam papa bagi pada dia,” balas Tengku Natasha dengan angkuhnya.

Tengku Hisham terus menggeleng.

“Tak besar Tasha cakap, panggil Ryan sayang tu, tak besar?  Paut lengan dia, lentokkan kepala kat bahu dia, buat manja-manja dengan dia… Apa sebenar semua ni Tasha?  Tasha dah lupa ke yang Ryan tu sekarang suami Aqilah, adik Tasha.  Tak kan Tasha tergamak nak runtuhkah rumah tangga mereka.

Lagi satu papa tak nampak sebab yang Tasha perlu sakit hati sangat dengan Qila.  Dia tak pernah mintak apa pun dari papa, Tasha.  Dia cuma nakkan kasih sayang, kalau Tasha boleh belikan hadiah untuk yang lain kenapa tidak adik Tasha sendiri.  Tak ada ke sekelumit jua rasa kasih Tasha pada Aqilah, darah daging Tasha sendiri?” Walaupun suara Tengku Hisham kedengaran sebak namun masih terselit ketegasannya.

Tengku Natasha terus berdiri, wajah papanya dipandang.

“Dan papa juga jangan lupa yang Ryan tu adalah kekasih Tasha, dia milik Tasha pa.  Papa sedar tak, yang perkahwinan mereka tu adalah rancangan yang kita berdua atur.  Papa sedar tak, yang papa sanggup memujuk Si Qila semata-mata nak pastikan dia mengahwini Ryan demi untuk Tasha.

Sekarang ni, Ryna dah dapat pun 40 peratus syer tu pa, tapi kenapa dia boleh berubah tiba-tiba?  Bukan ke dia sepatutnya ceraikan Si Qila, habis tu sekarang Tasha macam mana?  Papa ingat perasaan Tasha pada Ryan yang dah bersemi selama 5 tahun tu boleh hilang macam tu aje?  Tasha dah hilang segala-galanya pa.  Tasha tak dapat apa-apa pun sekarang?  Papa kejam dengan Tasha!  Papa memang dah tak sayangkan Tasha lagi…”  Tengku Natasha sudah menangis teresak-esak.

Tengku Hisham menarik tangan anaknya menyuruh dia duduk.  Tengku Natasha akur.  Air mata di wajah Tengku Natasha disapu lembut.  “Pandang papa nak…”

Tengku Natasha mengangkat kepalanya perlahan.

“Papa akui, memang papa bersalah dalam hal ini.  Papa tak sepatutnya bersetuju dengan rancangan Tasha, sebagai seorang bapa, tak sepatutnya papa menghancurkan kebahagiaan anak papa sendiri dan anak itu adalah Aqilah.”

Tersentak Tengku Natasha mendengarnya, namun mulutnya bagaikan terkunci untuk bersuara.

“Cuba Tasha bayangkan, jika benar-benar rancangan itu terjadi.  Bagaimana dengan nasib Qila yang menjadi mangsa rancangan tidak berperikemanusiaan kita berdua.  Dia jadi janda macam tu aje Tasha.   Papa rosakkan kebahagiaan anak papa macam tu aje Tasha.  Papa bersyukur sangat-sangat pada yang Maha Esa kerana mangubah segalanya.”   Sayu Tengku Hisham meluahkan perasaannya.

Tengku Natasha mengelap air matanya.

“Hahis, Tasha bukan jadi mangsa sekarang?  Hati Tasha yang terluka ni macam mana pa? Ohhh… kalau Tasha kena tinggal tak apalah, tapi Qila papa tak sanggup tengok.  Tasha kecewa sangat dengan papa, Tasha kecewa pa…” Makin kuat esakan Tengku Natasha.

Tengku Hisham mengusap lembut rambut anaknya.

“Dengar cakap papa ni sayang.  Kasih papa pada Tasha dan Qila sama saja.  Papa pun sedih tengok Tasha kecewa, tapi nak, kita sebagai orang Islam kena kembali kepada qada dan qadar Allah.  Hati Ryan berpaling pada Qila bukannya tak bersebab.

Qila memang telah diciptakan untuk Ryan nak.  Jangan pertikaikan hubungan mereka itu lagi.  Papa yakin kalau Tasha redha dengan ketentuan Ilahi, insya-Allah percayalah kata-kata papa ini, Tasha akan temui jua kebahagiaan itu satu hari nanti, aka nada seorang lelaki yang lebih hebat cintanya dari Ryan Ameer.  Percayalah cakap papa ni…”

Tengku Natasha hanya mendiamkan diri.  Malas dia hendak berdebat dengan papanya.  Dia tahu walau apa jua alasannya, hati papanya kini hanya untuk Aqilah sahaja.  Serasa hatinya sudah hancur dicincang lumat oleh papanya sendiri.

Sampai hati papa… rintih hatinya.

Butang interkom yang berkelip di dalam biliknya menyedarkan Tengku Natasha dari menungannya yang pajang.  Terus dia menjawab “Ada apa Jamie?”

Jamilah Jamaliah Jamaluddin bersuara, oh Triple J ini yang dipanggil Jamie. “Cik Tasha, Ku Ryan dah ada di biliknya.”

Tengku Natasha tidak menjawab, terus butang interkom dimatikan.  Berlagak betul perempuan ni. Memang sebaik menjejakkan kaki di pejabat tadi dia sudah berpesan pada setiausahanya agar memaklumkan padanya bila Tengku Ryan Ameer masuk ke biliknya selepas mesyuarat selesai nanti.  Terlalu banyak yang hendak dibincangkan dengan kekasihnya itu.

Sempat lagi dia melihat wajahnya di cermin.  Beg kertas di meja diambil lalu terus kakinya melangkah keluar.

Pintu bilik Tengku Ryan Ameer diketuk.  Dia tahu jika dulu dia hanya akan meredah masuk tapi kini segalanya berbeza.  Namun Tengku Natasha tetap tidak akan berputus asa, dia yakin berkat kesabaran dan usaha yang gigih, hati Tengku Ryan Ameer akan dapat diraih semula.

“Masuk…” Suara Tengku Ryan Ameer menyedarkan Tengku Natasha dari khayalannya yang muncul seketika.

Tengku Natasha melangkah masuk dengan senyuman yang manis di bibir.

“Hai sayang…” ucapnya.

Tengku Ryan Ameer yang sedang leka membaca fail terus mengangkat wajahnya.

“Stop calling me that Tasha.  I tak suka.  I think from now onwards kita kena letak gap dalam hubungan kita.  Why not sekarang ni kita cuba belajar terima perkataan adik ipar dan kakak ipar, lebih sedap bunyinya kan?”

Berdesing telinga Tengku Natasha mendengarnya.  Dia sudah mendekati meja Tengku Ryan Ameer.  Matanya masih tidak berganjak memandang lelaki yang pernah mencintainya itu.  Baju kemeja warna hijau muda jenama Raoul dengan tali leher yang kemar terikar, dikenakan pula dengan seluar slek hitam dari jenama yang sama, semakin menyerlahkan ketampanan lelaki itu ditambah pula dengan blazer hitam yang kemas tersarung di badannya yang sasa.

Memang lelaki ni tampan, bisik hatinya.

“I takt ahu nak mulakan macam mana Ryan, tapi yang I boleh cakap I begitu kecewa dengan sikap you.  Tergamak you tinggalkan I macam tu saja, tergamak kau Ryan.  Apa salah I sampai you sanggup buat I macam ni?” Sebak suara Tengku Natasha.  Tubuhnya disandarkan pada dinding.

Tengku Ryan Ameer yang masih tidak berganjak dari kerusinya melepaskan nafasnya perlahan.  Rambut perang kehitaman yang tersisir rapi itu diraup perlahan.  Wajah Tengku Natasha dipandang.

“You tak ada buat salah pada I Tasha, cuma jodoh kita yang tak ada.  I benar-benar berhadap you boleh terima takdir yang tersurat untuk kita.”  Lembut Tengku Ryan Ameer memberikan penjelasannya.

Tengku Natasha sudah menggeleng.

“Tapi kita boleh berusaha Ryan.  Tak kan kita nak terima takdir tu bulat-bulat, Tuhan suruh kita berusaha.  I sayangkan you Ryan, macam mana I nak lupakan you begitu saja dan I percaya, you jugak masih sayangkan I, cuma di waktu ini you sedang berperang dengan perasaan sendiri antara simpati pada Qila dan rasa sayang pada I kan?”

Tengku Natasha sudah merapatkan tubuh di meja, lengan Tengku Ryan Ameer dipegang namun pantas ditarik oleh Tengku Ryan Ameer, terus tubuhnya disandarkan pada kerusi, pastinya untuk menjarakkan kedudukan di antara mereka.  Tengku Natasha terus mengetap bibirnya dengan air mata yang jatuh berjuraian.

“Tasha, I nak mintak maaf pada you.  I akui I tak setia pada janji kita, tapi I tak boleh paksa hati dan perasaan ini untuk terus menyayangi you.  You boleh anggap kata-kata I ni kejam tapi itulah hakikatnya.  I dah tak ada perasaan pada you, bukan I tak cuba, bukan I tak pujuk hati ini untuk terus menerima you, tapi kesudahannya tetap sama.

Jujur I katakan pada you, sejak I kenal Qila, ya walaupun kami tak pernah sependapat selalu bergaduh, mulut I tak pernah berhenti mengucapkan kata benci padanya tapi itulah kuasa Allah, dalam diam rupanya I dah jatuh hati pada dia.  I cintakan dia, Tasha.  I benar-benar sayangkan Aqilah, I’m so sorry… I’m really, really sorry…”  Perlahan Tengku Ryan Ameer menuturkannya.

Tengku Natasha sudah merengus, terus dia menghenyakkan punggungnya di atas kerusi.

“Habis tu yang you sebut sayang pada I selama ni tu apa?  Kita berkepit macam belangkas, you peluk I, you cium I, you ucapkan kata-kata cinta di telinga I, tu apa Ryan?  Jadi you nak katakana selama ni apa yang you buat semua tu hanya lakonan sahaja?  You menipu I, you hanya nak mempermainkan I!  Kenapa tiba-tiba you boleh benci dengan I Ryan, kenapa?” soal Tengku Natasha dalam esakan yang makin panjang.

Tengku Ryan Ameer meraup wajahnya, kepalanya digelengkan.

“I… argh… Sebenarnya I tak tahu apa yang I nak jawab Tasha.  I malu dengan apa yang I dah buat pada you.  I tak sepatutnya buat macam tu.  I berdosa kerana terlalu sangat ikutkan darah muda sampai sanggup membelakangkan hujum. I benar-benar menyesal atas segala perbuatan I pada you.

Semoga Allah akan mengampunkan dosa kita berdua dan I nak minta maaf sangat-sangat pada you, tapi percayalah Tasha I tak pernah membenci you.  Lagipun kita dah macam adik-beradik.  Kalau I tak kahwin dengan Qila pun kita tetap bersaudara, kita kan sepupu.  Apatah lagi sekarang you umpama kakak I, Tasha.”

“Stop it Ryan!  Stop it!  I jijik dengar perkataan tu, tahu tak?  You jangan nak berlakon baiklah dengan I! I tak yakin you cintakan Aqilah. I masih waras lagi Ryan, I masih terbayang lagi betapa tertekannya you di kala itu bila I minta you berkahwin dengan Aqilah.  I tahu betapa dalamnya perasaan benci you pada dia, you jangan hipokritlah!  I tahu, you sebenarnya tak sukakan Aqilah, you bencikan dia, mengakulah Ryan.  Kenapa you masih nak menipu diri you sendiri?  I tahu you benci… you benci… you benci dia!” jerit Tengku Natasha.

Wajah Tengku Ryan Ameer terus berubah merah.  Tengku Natasha direnung tajam.

“You dengar sini Natasha.  I tak nak cakap perkara yang sama berulang kali.  Ini yang teakhir I cakap dengan you, kalau dulu I pernah cakap yang I bencikan Aqilah di kala you sedang waras dan sekarang di waktu ini, di kala you jugak sedang waras, I nak cakap yang I sayangkan Aqilah!  Sayang sangat-sangat!  I harap you benar-benar faham kali ini.  Sematkan dalam otak you sampai bila-bila yang hubungan cinta antara kita berdua sudah berakhir.  In fact dah lama pun berakhir.

By the way kalau betul you dakwa yang you cintakan I, sayangkan I, you tak kan gadai cinta you semudah itu Tasha.  You yang paksa I kahwin dengan Aqilah, you yang membuka ruang yang lebih luas untuk I mengenali Aqilah.  You jual cinta you semata-mata kerana you tidak mahu kalah di mata Aqilah, tapi akhirnya plan you itu telah membelit diri you sendiri.”

Tengku Natasha tunduk seribu bahasa.  Lidahnya begitu kelu untuk menbidas kata-kata yang terkeluar dari mulut lelaki yang dikasihi itu.

Tengku Ryan Ameer masih berwajah serius.

“I percaya you sendiri sedar sebenarnya yang hubungan kita sudah sampai pada titik noktahnya, cuma you masih cuab untuk menafikannya.  You know why sebab yang I sayang itu perempuan yang bernama Aqilah adik you, orang yang paling you benci.  You memang tak kan biarkan dia hidup bahagia kan Tasha?  Tapi I rasa dah tiba masa untuk you berubah, berubah untuk menerima adik you.  Qila tak pernah membenci you, dia sayangkan you.  Cubalah pujuk hati you tu Tasha.”

Lama Tengku Natasha terdiam.  Kata-kata Tengku Ryan Ameer itu tidak langsung terlekat di otaknya.  Sebaliknya apa yang difikirkan sekarang, apakah langkah yang seterusnya yang perlu dilaksanakan agar visinya untuk menghancurkan kebahagiaan adiknya akan tercapai.

Nafasnya dilepaskan perlahan.  Wajahnya diraup, satu senyuman mula berukir di bibirnya.  Di kala ini dia perlu mengalah dahulu.  Tengku Natasha tidak mahu terlalu mengikut emosi khuatir kelak akan menghancurkan rancangannya sahaja.

“I akan cuba Ryan, akan cuba belajar menerima hakikat yang you bukan milik I lagi dan I juga akan cuba untuk berbaik dengan Awilah.  Okey I kena keluar dulu, banyak kerha nak buat.  By the way sebagai seorang sahabat, I harap you sudi terima hadiah I ni.”

Tengku Natasha membuka kotak hadiah.  Seutas jam tangan jenama Brietling dikeluakan. Tengku Ryan Ameer hanya memandang tanpa suara.  Tengku Natasha sudah berdiri di sebelah Tengku Ryan Ameer.

“Boleh kau sempurnakan hajat I yang terakhir?  Sebenarnya masa I beli jam ni, I nak sangat pakaikan sendiri di tangan you, boleh I pakaikan?”

Tengku Ryan Ameer berwajah tenang, dia benar-benar berharap selepas ini akan ada permulaan yang baik dalam hubungan Tengku Natasha dan isterinya dan yang paling diharapkannya agar Tengku Natasha mula belajar untuk menerima status dirinya.

“Boleh tak I pakaikan?” Lembut Tengku Natasha bertanya.

Tengku Ryan Ameer yang terleka seketika terus membuka jam tangannya lalu tangan kanannya dihulurkan pada bekas kekasihnya itu.  Dalam Tengku Natasha sedang memakaikan jam di tangan Tengku Ryan Ameer, pintu bilik dibuka.

“Bang, Qila ada…” Namun ayat itu terhenti setakat itu sahaja.  Tengku Aqilah terus menyorokkan beg kertas yang dipegang ke belakang.

Tengku Ryan Ameer sudah tersenyum memandang isterinya.  Tengku Natasha sempat lagi mengerling jam tangan pemberiannya yang terlekat kemas di tangan suami adiknya itu dengan senyuman yang cukup bermakna.

“Hai Qila, okeylah Ryan, I keluar dulu ya?  Thank you sebab sudi terima hadiah I.” Tanpa berlengah Tengku Natasha terus melangkah keluar dari bilik itu dengan perasaan yang puas walaupun untuk seketika.  Perlahan-lahan pintu bilik ditutup.

“Hai sayang, apa yang sayang sorokkan tu?  Emm jangan-jangan ada hadiah untuk abang tak?” usik Tengku Ryan Ameer dengan suara yang ceria.

“Ana bagi,” dalih Tengku Aqilah, terus dia mendekati suaminya dengan dahi yang sedikit berkerut.

“Cantik jam? Mahal tu, kena jaga elok-elok…”

Tengku Ryan Ameer sudah berdiri.  Matanya tidak berganjak dari merenung wajah isterinya.

“Sayang, please antara abang dan Tasha dah berakhir.  Tadi kami dah berincang dari hati ke hati, so alhamdulillah Tasha dah boleh terima segalanya.”

Tengku Aqilah mencebikkan bibirnya.

“Emm, sebab Kak Tasha dah boleh terimalah sebab tu abang sedekahkan tangan abang pada dia?” Sinis Tengku Aqilah membalasnya.

Tengku Ryan Ameer terus memeluk bahu isterinya.

“Qila, janganlah macam ni.  Dia kata hajat terakhir dia, dia nak sangat pakaikan jam ni di tangan abang.  Tak kan itu pun salah,” jawab Tengku Ryan Ameer, lembut.

Tengku Aqilah terus menggeleng.

“Tak salah, siapa kata salah?  Tak salahkan dia pegang tangan abang, tak batal air sembahyang pun.  Muhrim kan?  Ehh… kakak ipar tu muhrim ke?  Confuselah, siap ada hajat terakhir lagi dah macam cerita novella pulak.  Tak apalah abang sambunglah buat kerja.  Qila keluar dulu.” Mendatar sahaja suara Tengku Aqilah.

Namun di kala ini dia tidak boleh melangkah kerana tangan kirinya digenggam erat oleh suaminya.

“Okey, promise perkara seperti tu tak akan berlaku lagi.  Abang janji…”

Tengku Aqilah tidak memberikan sebarang reaksi.  Tengku Ryan Ameer sudah mengerutkan dahinya melihat mendung yang masih bertamu di wajah isterinya itu.

“Qila janganlah macam ni sayang.  Tolonglah percayakan abang, abang tak happu kalau sayang terus Tarik muka macam ni tau,” pujuk suaminya lembut.

Tengku Aqilah menghela nafas, berat bunyinya.  Wajah suaminya dipandang.

“Okey, Qila tak nak bergaduh dengan abang pasal perkara yang remeh-temeh macam ni, tapi Qila jugak tak boleh nak tipu diri Qila yang Qila boleh terima macam tu aje.”

Tengku Ryan Ameer melepaskan nafasnya perlahan, terus isterinya ditarik duduk di sofa.

“Sekarang Qila cakap dengan abang, apa yang Qila nak abang buat?  Abang tak nak perkara seperti ini akan mengganggu kebahagiaan rumah tangga kita,” ujar Tengku Ryan Ameer lembut.  Kedua-dua belah tangan isterinya dicium.

“Boleh tak mulai hari ini, abang cuba elak.  Kalau boleh jangan benarkan Kak Tasha mendekati abang.”

“Qila, kita kerja satu ofis duduk satu rumah, macam mana abang nak jarakkan diri.  Come onlah sayang be reasonable sikit,” sampuk Tengku Ryan Ameer pula.

Tengku Ailah menarik tangannya dari genggaman suaminya itu, terus tubuhnya disandar pada ofis.

“Kalau abang nak boleh aje, macam-macam alasan abang boleh bagi, tak kiralah dia dah insaf ke, dah bertaubat ke?  Pada Qila itu tak penting, yang penting sekarang abang setuju atau tidak jauhkan diri dari dia.  Kalau pasal hal kerja rasanya mulai hari ni dia dah tak perlu report pada abang sebab Qila dah letak dia bawah Qila.  Pasal rumah lagi tak ada masalah sebab malam tadikan ktia dah setuju malam ni kita nak jumpa papa, beritahu yang kita nak pindah rumah banag, nak belajar berdikari.  Jangan abang cakap abang dah lupa pulak,” Tengku Aqilah sudah mengangkat jarinya.

Tengku Ryan Ameer sudah menggosok-godok tengkuknya.  Tengku Aqilah menyambung lagi, “Lagi satu, Qila nak abang bukak jam tu.  Qila tak nak abang pakai.”

Tengku Ryan Ameer terus merenung isterinya dengan kening yang terkerut.  “Kenapa Qila prejudis dengan Natasha sampai macam tu sekali?  Apa masalahnya kalau jam ni ada kat tangan abang?  Qila cemburu tu boleh, normal untuk pasangan suami isteri, tapi semburu buta itu amat bahaya tau.  Tanpa sedar nanti dia boleh menghancurkan hubungan kita,” nasihat Tengku Ryan Ameer pada isterinya.

Tengku Aqilah terus berdiri, wajah suaminya dipandang.  “Tak apalah kalau abang nak pakai jam tu pakai ajelah, memang Qila akui Qila memang kuat cemburu, tapi setakat ni rasanya cemburu Qila tu bersebab, sebabnya cuma satu, cinta…Qila cintakan abang.

Tapi tak apa, Qila akan cuba untuk menerima apa pun, cuma abang jangan salahkan Qila kalau satu hari cemburu tu hilang.  Bila kita tidak ada cemburu maka kita tidak ada lagi perasaan sayang dan bila perasaan itu dah tak ada, mungkin cinta juga akan terpadam.  Tak apa Qila mengalah Qila akan ikut jalan abang, okeylah bang, Qila keluar dulu.” Tanpa menunggu Tengku Aqilah terus melangkah keluar dari bilik suaminya dengan hati yang terbuku.

Tengku Ryan Ameer tidak mampu untuk berkata apa-apa, hanya kepalanya digelengkan perlahan-lahan.

Tengku Aqilah terus mendapatkan Farhana yang sedang leka menaip itu. “Ana, aku nak balik.  Kau ambiklah barang ni bagi kat Azrul.”

Tengku Aqilah menghulurkan beg kertas itu pada Farhana.  Terkejut juga Farhana dibuatnya.  Mukanya dikerutkan.

“Hai, pagi tadi punyalah semangat ajak aku beli hadiah untuk laki dia.  Sayang laki punya pasal samapi hilang sifat bakhil dia sekejap.  Ni alih-alih nak suruh aku bagi kat Azrul pulak.  Tak kuasa aku!  Kau ni kenapa?  Bergaduh?” balas Farhana.

“Mana ada, bekas buah hati dia dah bagi jam yang lagi mahal dari aku.  Kalau aku tahu macam ni, aku beli aje jam Power Rangers tadi.  Tak apalah kau bagi aje pada Pak Hasan cakap hadiah birthday dia dari aku untuk tahun depan, aku balik dululah.”  Tengku Aqilah terus melangkah pergi tanpa sempat Farhana membalas sepatah dua kata.

“Susah orang dah kahwin ni.  Nasib baik hati aku masih belum diberi pada sesiapa.” Omel Farhana lalu terus dia mengambil beg kertas itu untuk dikembalikan pada tuannya.

Pinti bilik Tengku Ryan Ameer diketuk, terdengar suara majikannya menyuruh masuk.

“Ku ryan, nak jumpa sekejap…”

Tengku Ryan Ameer yang sedang menulus sesuatu terus terhenti.  “Kenapa Ana?” soalnya.

“Ni hadiah…”

Tengku Ryan Ameer sudah membuat muka pelik.

“Dipendekkan cerita, Si Qila pagi-pagi tadi lagi dah pergi beli hadiah ni.  Alah tak payah nak rahsialah dia beli jam tangan untuk Ku Ryan, katanya untuk hadiah majlis pernikahan, tapi macam peliklah, bukan selalunya orang bagi cincin ke?” Farhana sudah menaikkan hidungnya.

Tengku Ryan Ameer masih belum bersuara.

“Tapi tak kisahlah, dia pun dah belikan, tapi dia tak jadi bagi pulak, dia kata bekas buah hati Ku Ryan dah bagi jam yang lagi mahal.  Dia kata kalau dia tahu baik dia beli jam Power Rangers aje.  Biasalah Si Qila tu Ku Ryan perempuan kedekut bukan senang dia nak bagi hadiah tau, so dia suruh saya bagi pada Azrul atau Pak Hasan, tapi dua-dua saya tak nak bagi, jadi Ku Ryan fikirlah nak buat apa dengan hadiah ni.”

Farhana sudah berpusing.  Elok tangannya memulas tombol pintu, Tengku Ryan Ameer bersuara, “Cakap dengan Qila, suruh dia tunggu saya lunch nanti, saya nak lunch berdua aje.” Ceria suara Tengku Ryan Ameer.

“Qila tak ada, dia dah balik.  Esok ajelah Ku Ryan lunch dengan dia berdua,” balas Farhana selamba.

Sebelum menutup pintu sempat lagi dia menghadiahkan senyuman seadanya pada majikannya itu.  Jangan dikatakan sombong, takut tak naik gaji pulak…


follow admya di facebook

Comments