join admya di FB

Episode Akhir (ep 32) Lafazkan Kalimah Cintamu




Episode akhir Lafazkan Kalimah Cintamu. Trending!

Adakah sama seperti novel atau berlaku twist plot?Update 












petikan novel bab akhir.
Tengku Hisham yang sedang menikmati sarapan pagi di taman itu terhenti bila melihat Tengku Ryan Ameer hanya meneguk air sahaja.
“Ryan kenapa tak makan? Macam-macam Bong masak pagi ni. Ryan tak sihat ke atau Ryan ada masalah?” Begitu prihatin sekali Tengku Hisham pada menantunya.
Shafiq dan Tengku Natasha yang turut bersarapan sama sudah memandang wajah Tengku Ryan Ameer.
“Ryan sihat pa, Ryan tunggu Qila nak sarapan sama. Lena sangat tengok dia tidur, tu yang Ryan tak sampai hati nak kejut tapi Ryan memang ada masalah pa,” ujar Tengku Ryan Ameer.
Tengku Hisham terus meletakkan cawan di atas meja. Tengku Natasha dan suaminya terhenti menjamah makanan.
“Apa dia nak? Cuba Ryan cakap. Papa akan cuba tolong selagi yang papa mampu.” Begitu bersungguh-sungguh Tengku Hisham menyakinkan menantunya.
Tengku Ryan Ameer menghela nafas, berat bunyinya sebelum dia bersuara, “Pasal Qila pa. Ryan dah buat keputusan, nak cakap jugak dengan Qila pasal pembedahan itu. Masa terus berjalan, kalau Qila tak buat sekarang, dia kena tunggu lagi 2 bulan, sedangkan waktu ni peluangnya dah ada pa.
Ryan dah bincang dengan Doktor Raj Kumar semalam. Sebenarnya sebelum datang sini, Ryan ada jumpa dia, itu yang Ryan bertolak agak lewat petang semalam. Dia kata baby tak akan ada masalah pa. Dah banyak kes baby lahir 7 bulan dan Alhamdulillah dengan izin Allah semuanya selamat, melainkan kalau baby tu sendiri yang ada komplikasi penyakit lain. Alhamdulillah setakat ni baby kami sihat. Ryan dah nekad pa, kalau Qila nak benci Ryan lepas ni pun Ryan sanggup tanggung pa, yang penting Ryan akan tetap cakap pasal ni,” jelas Tengku Ryan Ameer yang begitu nekad dengan keputusannya.
Tengku Hisham sudah memicit dahinya. Tengku Natasha sudah memandang suaminya. Shafiq menepuk lembut bahu Tengku Ryan Ameer.
“Aku sokong kau Ryan. Kalau aku berada di tempat kau pun aku akan buat keputusan yang sama, demi orang yang kita saang adakalanya kita perlu telan walaupun begitu pahit. Aku pun tak keberatan untuk menasihatkan dia sama,” sokong Shafiq.
“Bang, abang tahu tak, nanti Qila akan tertekan. Berhari-hari dia menangis, Sha tak nak nanti kesihatan dia terjejas bang,” sanggah Tengku Natasha. Risau sungguh wajahnya.
Shafiq memegang tangan isterinya.
“Sebab tu kita semua kena bersatu hati. Kita sama-sama nasihatkan dia, kita sokong dia, kita yakinkan dia. Itu lebih baik dari kita biarkan saja dia menghitung hari-hari akhirnya. Kita tak boleh mengalah. Kita tak boleh lemah depan dia. Sha antara orang yang paling sayang, paling rapat. Abang yakin, dia akan dengar jugak cakap Sha. Kita cuba ya sayang,” jelas Shafiq pada isterinya.
Tengku Natasha hanya terdiam mendengar penjelasan suaminya itu.
Tengku Aqilah yang baru selesai mandi sempat lagi menjenguk ke taman. Dia melihat semua ahli keluarganya sedang menikmati sarapan pagi. Namun dia sedikit pelik bila melihat tiada keceriaan di wajah mereka itu. Gayanya seperti mereka sedang membincangkan perkara yang penting sahaja. Dia hanya mengangkat kedua-dua belah bahunya. Pasti mereka sedang berbincang soal kerja, getus hatinya.
Tengku Aqilah melihat gaun mengandung warna biru putih itu, hadiah papanya. Masa papanya memberikan hadiah ini sempat lagi dia mengusik papanya, kata Tengku Aqilah semasa hari jadi suaminya, papanya menghadiahkan sebuah kereta tapi bila tiba hari jadi dia, tak kan hanya baju sahaja. Namun kata papanya, bila dia sihat nanti jangankan kereta, bas dua tingkat pun papanya sanggup belikan. Lesen kereta pun tak ada banyaklah pulak cakap, bidas otaknya.
Gaun mengandung yang sudah tersarung di badan itu, digayakan di hadapan cermin. Tudung warna biru yang dipadamkan makin menyerlahkan lagi seri wajahnya. Sebenarnya agak lama Tengku Aqilah tidak menghiaskan dirinya. Pagi ini, buat pertama kalinya selepas 3 bulan dia kembali merapikan dirinya.
Selepas bersolek ala kadar, hasilnya begitu memukau sekali. Siapa cakap orang sakit tak boleh nampak cantik, tapi aku memang dah cantik pun, detik hatinya. Perangai gila dia dah datang baliklah tu. Tengku Aqilah melangkah keluar dari biliknya itu dengan perasaan ceria.
Di taman, mereka masih lagi sibuk membincangkan mengenal hal Tengku Aqilah. Tengku Natasha yang perasan seperti ada orang yang sedang menuju kea rah mereka terus menoleh, macam nak terkeluar biji matanya melihat penampilan adiknya itu.
“Oh my God, cantiknya…” Hanya ayat itu yang terucap di mulutnya, yang lain terus menoleh.
Tengku Hisham sudah tersenyum, tiada kata-kata yang mampu diucapkan pada saat ini. Shafiq sudah mengangguk seperti mengiakan kata-kata isterinya itu. Tengku Ryan Ameer turut terpana melihatnya. Mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu namun tiada ayat yang terkeluar.
“Assalammualaikum…” Tengku Aqilah memberi salam dengan senyuman manis di bibir.
“Waalaikummusalam…” Serentak mereka menjawab.
Tengku Ryan Ameer pantas menghulurkan tangannya untuk membantu isterinya duduk. Bersama piring kek di tangan Tengku Aqilah melabuhkan punggungnya.
“Semua dah breakfast ke?” soalnya ceria.
Berselera sungguh dia menyuapkan kek itu ke mulutnya. Semua pelik melihatnya, selalunya begitu susah nak menyuruh Tengku Aqilah makan tapi pagi ini berlainan sungguh perangainya.
Tengku Aqilah yang perasan akan kebisuan itu terus bersuara, “Jangan ada yang kata berminat dengan kek yang Qila tengah makan ni. Qila yang suruh Kak Bong sorok semalam tau. Ni aje tinggal, taka da lagi,” ujar Tengku Aqilah bersahaja, semua sudah tergelak mendengarnya.
“Makan ajelah sayang, tak ada siapa yang nak kacau kek tu. Ni ada mi goreng, nasi goreng tak nak makan?” usik Tengku Ryan Ameer.
Tengku Aqilah yang sedang meneguk air sudah mengangguk.
“Nak, memang nak makan pun. Kak Tasha tolong ambikkan mi tu separuh nasi goreng separuh. Qila nak rasa dua-dua sekali,” minta Tengku Aqilah.
Tengku Natasha sudah mengerutkan dahinya.
“Biar betul dik, akak tahulah baby kat dalam tu makin membesar tapi tak kan selera macam tu sekali?” soal Tengku Natasha seperti tidak percaya melihat selera adiknya yang dah kembali seperti sepupu hantu raya itu.
Tengku Aqilah yang sedang menghabiskan kek ituyang terakhir, sudah mengerutkan wajahnya.
“Pelik ke kalau Qila makan banyak? Pelik ke pa?” Tanya Tengku Aqilah pula.
Tengku Hisham sudah mengangkat bahunya dengan wajah yang ceria.
“Emm… papa mungkin tak boleh nak jawab, Abang Fiq mesti boleh jawab, pelik ke Bang Fiq?” soal Tengku Aqilah pada Shafiq pula.
“Tak, tak pelik langsung. Inilah Qila yang Abang Fif kenal. Bab makan number one tapi bab bayar…”
Belum sempat Shafiq menghabiskan ayatnya, Tengku Aqilah terus memotong, “Ohh… belanja selama ni tak ikhlas ya…” ujar Tengku Aqilah sambil menaikkan jari telunjuknya.
Shafiq sudah ketawa. Tengku Natasha hanya tersenyum mendengarnya. Pinggan berisi nasi goreng dan mi dihulurkan pada adiknya. Semua mata tidak berkalih memandang Tengku Aqilah yang begitu berselera menikmati makanannya.
“Abang tak makan lagi ke?” soal Tengku Aqilah sebaik menyelesaikan makanannya di dalam pingan.
“Dah kenyang baru nak ingat suami ya? Abang tunggu Qilalah, isteri abang yang lawa sangat ni nak pergi mana? Pagi-pagi dah ada plan nak pergi berjalan?” Tengku Ryan Ameer menanyakan isterinya.
Tengku Aqilah sempat lagi mengambil kuih karipap di hadapannya. Tengku Ryan Ameer sudah mengerutkan keningnya. Musykil dia jadinya dengan selera Tengku Aqilah yang terlampau itu.
“Qila… Emmm… Qila sihat ke sayang?” soal Tengku Ryan Ameer agak risau.
Tengku Aqilah yang baru menyelesaikan kuih karipapnya mengangguk.
“Sihat, Alhamdulillah. Laa… abang makanlah. Sedap Kak Bong masak ni. Ka Tasha, Abang Fiq, papa dah sudah ke?”
Mereka yang seperti kebingungan itu hanya mengangguk sahaja. Tengku Ryan Ameer sudah tidak sedap hati dengan perubahan karakter isterinya itu. Tangan isterinya dipegang.
“Qila tak jawab lagi soalan abang. Qila nak pergi mana, pakai cantik-cantik ni?” Tengku Ryan Ameer mengulang soalannya.
Tengku Aqilah terus mengukirkan senyuman. Bergetar jantung Tengku Ryan Ameer melihat senyuman yang cukup menawan yang dilemparkan isterinya itu. Wajah comel isterinya direnung kasih.
“Qila nak keluar sekejap lagi. Alah Qila tau, semua orang pelik tengok Qila berselera makan pagi ni kan? Tapi patutnya tak perlu pelik Qila ni memang kuat makan. Makan tu kan hobi Qila, tapi jawapa yang sebenar-benarnya lepas ni Qila dah kena puasa jadi selagi ada peluang ni makan ajelah,” jelas Tengku Aqilah ceria.
Tengku Hisham seperti tidak berpuas hati sahaja.
“Tapi kenapa Qila nak puasa sayang? Qila kan tak sihat? Papa tak setuju kalau Qila nak puasa macam ni,” luah Tengku Hisham dengan kepalanya digelengkan.
Tengku Ryan Ameer dapat melihat kegelisahan di wajah bapa mentuanya. Dia menoleh pula pada isterinya yang tampak bersahaja itu malahan sempat lagi dia memakan buah anggur dengan berseleranya.
“Qila, abang setuju dengan cakap papa tu. Qila ni kenapa? Cuba cakap dengan abang. Abang risaulah tengok Qila macam ni?” ujar Tengku Ryan Ameer. Bahu isterinya dipeluk kejap.
Tengku Aqilah memandang suaminya.
“Pasal puasa tu papa ataupun abang tak patut cakap pada Qila. Qila pun sebenarnya bukannya suka kena puasa ni. Apa kata abang tanya soalan tu pada doktor nanti?” Selamba Tengku Aqilah menjawabnya.
Tengku Ryan Ameer makin risau jadinya. Terus kedua-dua belah tangan isterinya digenggam. Tengku Hisham, Tengku Natasha dan Shafiq turut tidak dapat melindungi riak kerisauan di wajah mereka.
“Qila, apa sebenarnya? Cuba Qila berterus terang dengan akak, dik…” Tengku Natasha pula bersuara sedikit cemas.
Tengku Aqilah sudah pelik melihat riak wajah ahli keluarganya dan yang paling ketara adalah suaminya. Jelas sekali raut kebimbangany di wajahnya itu. Pipi suaminya dipegang.
“Kenapa ni bang? Qila ada salah cakap ke? Kenapa semua orang pandang Qila semacam aje? Tak kanlah sebab Qila nak kena puasa pun nak jadi satu isu besar? Dah namanya nak buat operation kan, bukan selalunya doktor suruh puasa ke?”
Tengku Ryan Ameer terus menadah tangan mengucap syukur pada yang Maha Esa. Mereka yang lain turut berbuat yang sama. Kemudian Tengku Ryan Ameer mengusap lembut pipi isterinya. Air matanya yang menitis pantas diseka.
“Terima kasih sayang, terima kasih banyak-banyak… Abang tak tahu macam mana nak cakap betapa gembiranya abang hari ni. Abang sayang Qila, abang sayang sangat Qila…” Terus tubuh isterinya didakap.
Tengku Hisham turut mengelap pelupuk matanya. Tidak dapat nak diungkap betapa gembiranya dia di saat ini.
“Papa gembira sangat nak, gembira sangat…”
Tengku Aqilah memeluk pula papanya. Pipi papanya dicium kasih. Tengku Natasha turut mendapatkan adiknya, dia memeluk tubuh adiknya itu.
“Terima kasih dik, terima kasih… Adik kakak memang seorang yang kuat,” ujarnya dengan tangan adiknya digenggam erat.
Tengku Aqilah tidak mampu untuk mengungkap sebarang kata. Kasih sayang keluarga dan suaminya telah menjadi sebahagian daripada penawar untuk mengurangkan kesakitannya.
“Papa nak call Doktor Raj…” ceria suara Tengku Hisham. Shafiq pantas bangun.
“Fiq tolak papa ya…” Terus Shafiq menolak kerusi roda bapa mentuanya masuk ke dalam rumah.
“Bang, Qila nak mintak tolong abang buat sesuatu untuk Qila boleh?” tanya Tengku Aqilah penuh pengharapan.
Tengku Ryan Ameer sudah menghulurkan tangannya.
“Apa dia sayang? Sayang cakap aje. Abang akan buat apa saja.”
Tengku Aqilah menyambut huluran tangan suaminya. Tengku Natasha di sebelah, bahagia melihatnya.
“Kak Tasha nak bersiap, akak masuk dulu ya…”
Tengku Aqilah hanya mengangguk dengan wajah yang ceria. Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah Tengku Natasha menoleh sekilas pada adiknya, kelihatan Tengku Ryan Ameer begitu tekun mendengar apa yang sedang diperkatakan oleh isterinya dengan tangan Tengku Aqilah tidak beralih dari bibirnya.
“Ya Allah panjangkanlah jodoh mereka. Berilah mereka peluang untuk mengecapi kehidupan yang bahagia. Berilah mereka peluang Ya Allah untuk terus menikmati kehidupan suami isteri… Tolonglah Ya Allah, hanya pada-Mu aku memohon,” doa Tengku Natasha seikhlas hati.





follow admya di facebook

Comments