join admya di FB

Episode 30 Lafazkan Kalimah Cintamu




Banglo kepunyaan Tengku Aqilah itu terang-benderang dengan cahaya lampu. Khemah-khemah telah sedia terpasang di luar perkarangan rumah yang luas itu. Tetamu-tetamu di kalangan rakan-rakan dan jiran-jiran sudah ramai memenuhi khemah itu.
Tengku Aqilah menyelak sedikit kain langsir biliknya melihat kemeriahan majlik pernikahan kakaknya yang akan berlangsung sebentar lagi. Muram suasana biliknya itu, hanya disinari lampu tidur. Tengku Aqilah sendiri tidak berpakaian indah. Dia tidak larat, demamnya semakin teruk sejak semalam dan malam ini kesihatannya makin merisaukan dirinya.
Selepas Maghrib tadi dia merasa sesak nafas. Nasib baik tidak berlarutan. Namun Tengku Aqilah tidak memaklumkan kepada sesiapa. Dia tidak mahu keluarganya menjadi bimbang tentang dirinya hingga boleh menjejaskan majlis pernikahan kakak kesayanganya nanti.
Dalam kelekaan itu dia terpandangkan kereta suaminya yang memasuki pekarangan rumah itu, diikuti dengan beberapa buah kereta. Entah mengapa, degupan jantungnya dirasakan tidak menentu dan degupan itu makin kencang sebaik dia terpandangkan suaminya yang sudah keluar dari tempat pemandu itu.
Tengku Ryan Ameer segak memakai baju Melayu biru muda dengan kain samping. Songkok yang dipakai makin menyerlahkan ketampanan lelaki itu. Tengku Aqilah menelek dirinya seketika, bagai langit dengan bumi, detik hatinya. Wajahnya yang pucat, tubuhnya yang susut, matanya yang sedikit cengkung, semakin Tengku Aqilah sedar akan dirinya.
“Sayang itu papa… Itu papa sayang… Segak kan papa? Syukur Ya Allah kau makbulkan jua doa aku untuk melihat suamiku walaupun untuk seketika. Cukup ya sayang, cukup tengok papa ya… mama tak larat sayang, mama nak rehat…” bisik Tengku Aqilah. Penuh kasih perutnya yang membukit itu diusap lembut.
Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Sebaik matanya dipejamkan, airmata mengalir lesu di pelupuk matanya.
Berwalikan papanya Tengku Hisham, tepat pukul 9 malam Shafiq dan Tengku Natasha selamat diijabkabulkan. Majlis resepsi bermula. Tetamu-tetamu telah memenuhi ruang khemah itu. Ramai yang memuji pasangan dua sejoli itu yang sama cantik, sama padan, bagaikan pinang dibelah dua.
Namun dalam kemeriahan majlis itu, Tengku Ryan Ameer begitu gelisah sekali. Matanya asyik melilau ke sana sini. Besar sungguh harapannya agar Tengku Aqilah kembali untuk menghadiri majlis itu. Sebaik sampai tadi dia tidak lagi berpeluang untuk berbicara dengan papa saudara merangkap bapa mentuanya itu. Mereka hanya bersalaman dan bertanya khabar sahaja tadi. Tengku Ryan Amer dapat melihat mendung di wajah Tengku Hisham dan dia merumuskan bapa mentuanya itu pastinya bersedih dengan pemergian Tengku Aqilah.
Ingin juga dia bertanya pada Farhana mengenai isterinya tapi kelibatnya di luar langsung tidak kelihatan begitu juga Kak Kembong. Tengku Natasha walaupun ada bersama melayan tetamu namun jelas riak kedinginan di wajahnya semasa mereka bertembung tadi.
“Rul, aku tak nampak Qila pun dia tak balik ke?” Sayu suara Tengku Ryan Ameer bertanya.
Azrul Botak begitu serba salah dibuatnya. Pantas dia mengawal riak wajahnya.
“Tak tahulah Ryan, nanti aku tanya Ana. Jomlah kita makan dulu, dari siang tadi aku tengok kau tak makan apa-apa,” ajak Azrul Botak.
Tengku Ryan Ameer hanya menggeleng perlahan. Dari jauh dia ternampak Tengku Hisham yang berada di beranda sedang bercakap dengan Pak Hasan.
“Aku pergi sana kejap Rul,” tunjuknya. Terus langkahnya diatur mendekati papa mentuanya itu.
“Pa, Pak Hasan…” tegur Tengku Ryan Ameer. Kedua-dua mereka sudah tersenyum memandang suami Tengku Aqilah itu.
“Engku boraklah dengan Ryan dulu ya. Saya nak pergi tolong apa-apa yang patut kat khemah tu. Pak Hasan pergi dulu ya Ryan.” Bahu Tengku Ryan Ameer ditepuk lembut sebelum dia berlalu.
Tengku Ryan Ameer hanya tersenyum.
“Duduk nak,” pelawa Tengku Hisham lembut.
Ketara sungguh sifat kebapaannya. Benarlah kata Tengku Aqilah, kasih Tengku Hisham padanya tidak pernah berubah. Elok punggungnya mencecah kerusi, Tengku Ryan Ameer menggenggam tangan bapa mentuanya.
“Pa, Ryan nak minta maaf sangat-sangat dengan papa kerana sikap Ryan. Qila dah pergi dan papa turut mendapat tempiasnya. Ryan betul-betul menyesal apa yang Ryan dah buat dengan Qila. Kini Ryan insaf pa, Ryan insaf… Ryan tak boleh hidup tanpa Qila pa. Ryan tak boleh kehilangan Qila… Ryan mintak sangat jasa baik papa, papa tahu tak di mana Qila? Dia ada balik tak hari ni pa? Please pa… Ryan nak tebus semua dosa-dosa Ryan…” Sebak kedengaran suara Tengku Ryan Ameer.
Sesekali, Tengku Hisham mengelap pelupuk matanya.
“Dahlah tu nak. Jangan dikenang lagi perkara yang dah lepas. Kalau betul Ryan dah sedar akan kesilapan Ryan, syukur Alhamdulillah… Papa tak berniat nak campur urusan rumah tangga Ryan tapi papa rasa Qila dah putuskan jalan hidupnya sendiri. Biarlah kali ni dia yang menentukan kebahagiaan dia. Jangan ganggu dia, ya nak…”
Terkedu Tengku Ryan Ameer mendengar jawapan Tengku Hisham itu. Kepalanya digelengkan berkali-kali.
“Tapi Ryan perlu jumpa dia pa… Ryan nak dengar sendiri dari mulut dia. Kalau betul dia dah ada jalan hidupnya sendiri, Ryan tak akan ganggu dia, tapi Ryan perlu jumpa dengan Qila. Ryan nak minta maaf dengan dia dan Ryan nak dengar dia memberikan kemaafan pada Ryan. Selepas tu kalau betul dia tak boleh terima Ryan lagi, Ryan sanggup berundur. Ryan janji pa…” Makin sayu suara Tengku Ryan Ameer.
Tengku Hisham menghela nafasnya perlahan. Dia benar-benar tersepit di waktu ini. Antara janji dengan anak bongsunya dan pengharapan yang begitu besar dari menantunya.
Dalam fikirannya yang bercelaru itu, Farhana muncul di muka pintu, cemas sahaja wajahnya. Sebaik terpandangkan Tengku Ryan Ameer dia pantas mengawal riak wajahnya. Farhana mendekati Tengku Hisham, dia terus berbisik di telinga bapa sahabatnya itu. Berderau darah Tengku Hisham mendengarnya. Wajahnya berubah cemas.
“Ryan duduk duluya,papa nak masuk kejap.” Tanpa bertangguh dia terus menolak kerusi rodanya masuk ke dalam.
Tengku Ryan Ameer pelik jadinya dan dia semakin pelik bila melihat Farhana sudah mendapatkan Tengku Natasha, Shafiq juga Azrul Botak. Pak Hasa turut sama berada di situ. Entah apa yang diperkatakan, berubah muka semuanya. Tengku Natasha sudah menangsi sambil bergegas masuk ke dalam rumah.
Elok Azrul Botak hendak melangkah masuk Tengku Ryan Ameer terus menghalang jalannya.
“Kenapa semua orang bergegas masuk dalam rumah tu? Kau cakap dengan aku Rul, apa sebenarnya ni? Aku dah rasa tak sedap hati ni. Lebih baik kau cakap Rul,” arah Tengku Ryan Ameer dengan bibir yang terketar.
Azrul Botak sudah resah.
“Aku… a…ku….”
Tanpa menunggu, Tengku Ryan Ameer terus berlari masuk ke dalam, di pertengahan jalan dia melihat Mak Kiah keluar dari bilik itu sambil menangis teresak-esak. Pantas dia mendapatkan Mak Kiah.
“Kenapa Mak Kiah menangis ni? Siapa yang ada kat dalam tu?” Cemas suara Tengku Ryan Ameer.
Mak Kiah sudah teresak-esak.
“Dia dah tak larat Ryan. Dia dah tak kuat nak melawannya Ryan, dia…” Mak Kiah tidak mampu untuk berbicara lagi. Dia sudah terjelepok di lantai.
Kak Kembong yang baru keluar dari bilik itu terus memapah Mak Kiah. Wajah bekas askar Wataniah itu tidak kurang juga lencun dek air mata.
Tanpa bertanggu Tengku Ryan Ameer terus menerpa masuk ke dalam bilik itu. Dia melihat semua sedang menangis mengelilingi seseorang yang sedang terbaring di atas katil. Mereka masih tidak menyedari kehadiran Tengku Ryan Ameer itu. Badannya mula menggigil, jantungnya sudah berombak kencang. Hatinya tidak henti-henti berdoa agar bukan isterinya yang terbaring di situ. Tolonglah Ya Allah bukan isteriku Ya Allah, bukan isteriku.
Shafiq seperti terasa kehadiran seseorang di dalam bilik itu terus berpaling.
“Ryan…” Hanya itu yang terucap di mulutnya.
Sebaik Shafiq menepi, Tengku Ryan Ameer melihat memang isterinya yang terbaring kaku di atas katil itu. Mulutnya sudah terketar-ketar. Air mata begitu laju membasahi pipinya.
Tengku Natasha begitu terperanjat dengan kehadiran Tengku Ryan Ameer itu.
“Siapa bagi kau masuk ni? Lebih baik kau keluar Ryan! Kau keluar! Adik aku tak perlukan kau, cukuplah dia dah terseksa selama ni Ryan! Kau pergilah Ryan, pergilah!!!” jerit Tengku Natasha dalam esakan.
Tengku Natasha bagaikan diserang hysteria, dia menolak-nolak tubuh Tengku Ryan Ameer menyuruhnya keluar. Tengku Ryan Ameer tidak langsung menoleh padanya. Matanya tidak berkelip memandang wajah pucat isterinya itu. Walaupun sesekali dia terlajak juga ke belakang bila ditolak kuat oleh Tengku Natasha. Kakinya terus diatur selangkah demi selangkah mendekati isterinya.
Tengku Hisham hanya teresak di sebelah anak bongsunya. Shafiq pantas memegang tangan isterinya. “Sha, jangan macam ni Sha. Ryan suami Qila Sha. Ryan berhak pada Qila. Qila perlukan suami dia di saat ini Sha. Anak dalam perut tu perlukan sokongan papanya Sha. Jangan keruhkan lagi keadaan, dengar cakap abang ni,” pujuk Shafiq.
Tengku Natasha sudah mengongoi di dada suaminya.
“Dia tu layak ke lagi nak jadi suami Qila bang? Abang tengoklah apa yang adik Sha tanggung sekarang ni. Lelaki ni tak pernah bahagiakan hidup dia bang. Qila dah cukup menderita hidup dengan lelaki ni bang. Dia dah cukup menderita bang…” Esak Tengku Natasha.
Tengku Hisham menepi sebaik Tengku Ryan Ameer melabuhkan punggung di sebelah isterinya. Dengan tangan yang separuh menggigil, dia memegang wajah isterinya. Panas, itu yang dirasa pada wajah isterinya itu. Kemudian dia beralih pula pada perut isterinya yang semakin sarat itu.
“Perut yang awak pegang tu ada zuriat awak yang sedang membesar. Itulah pengorbanan Qila demi sumi dia. Awak tahu tak Ryan, adik saya bukannya sakit semata-mata mengandungkan anak awak tapi dia sekarang sedang bertarung dengan maut tahu tak? Adik saya menghidap kanser. Kanser awak tahu? Breast cancer!
Tapi dia tak nak lakukan pembedahan, dia nak lahirkan dulu anak dia. Minggu depan kandungan dia cukup 7 bulan. Doktor sarankan dia bersalin awal dan jalankan pembedahan, tapi dia tak nak. Itulah yang ditanggungnya sekarang. Awak dah tahu semua kan? Rasanya awak tak perlu lagi berada di sini. Nanti bila adik saya selamat melahirkan anaknya saya akan beritahu awak dan itu memang pun permintaan dia. Awak baliklah Ryan, baliklah!” Tengku Natasha sudah meninggikan suaranya.
Shafiq sudah menggeleng melihat kedegilan isterinya itu. Tengku Ryan Ameer masih diam terkaku. Cuma matanya tidak berkalih memandang wajah pucat isterinya. Tangan isterinya digenggam erat. Akhirnya Tengku Ryan Ameer menangis semahu-mahunya.
Siren ambulans sudah kedengaran di luar. Tidak sampai 1 minit, seorang doktor dan dua orang jururawat masuk ke dalam bilik.
“Sila ke tepi encik, saya nak check pesakit,” arah doktor lelaki Melayu dalam lingkungan umar 30-an itu.
Tengku Ryan Ameer masih lagi teresak-esak menangis. Pak Hasa memapah suami Tengku Aqilah itu bangun.
“Sabar nak, sabar… Ryan kena kuat demi Qila. Ryan kena kuat,” pujuk Pak Hasan lembut.
Doktor lelaki itu terus memberikan bantuan oksigen pada Tengku Aqilah. Dengan pantas dia mencucuk jarum di tangan Tengku Aqilah dan terus air dimasukkan.
“Macam mana anak Pak Engku, Mil?” Baru kedengaran Tengku Hisham bersuara.
Doktor Jamil yang sedang memeriksa nadi Tengku Aqilah berwajah tenang.
“Engku jangan risau. Cik Qila tak ada apa-apa. Cuma badannya terlalu lemah sebab terlampau panas, ditambah pula dengan tak cukup air. Tak apalah, kita bawa ke hospital, biar dia rehat di sana. Kami pun boleh pantau keadaa dian,” saran Doktor Jamil yang sememangnya sudah dikenali di kalangan keluarga terdekat Tengku Aqilah kerana setiap bulan Tengku Aqilah hanya akan membuat pemeriksaan dengan Doktor Jamil.
Tengku Hisham hanya mengangguk lemah. Tengku Ryan Ameer terus mengangkat tangan tanda kesyukuran lalu diraup ke mukanya. Mereka yang lain turut menarik nafas lega.
Dua orang petugas hospital datang bersama stretcher. Tengku Ryan Ameer pantas mendekati isterinya, penuh hati-hati dia mengangkat tubuh isterinya itu lalu perlahan-lahan diletakkan di atas stretcher. Rasa sebak kembali bertandang dalam hatinya sebaik melihat wajah uzur isterinya itu. Tanpa bersuara sepatah jua dia terus mengikut dua orang petugas itu keluar dari bilik, yang lain-lain menurut sama.
“Pa, Ryan naik ambulans. Nanti kita jumpa kat hospital. Rul nanti kau bawak kereta kau,” ujar Tengku Ryan Ameer.
Kunci kereta di poket seluarnya diambil lalu diserahkan pada Azrul Botak. Mereka hanya mampu memandang Tengku Ryan Ameer yang sudah masuk ke dalam ambulans. Tengku Hisham sempat lagi melihat Tengku Ryan Ameer menggenggam erat tangan anak bongsunya. Sesekali tangan itu dicium, muram sungguh wajah menantunya itu. Sebaik saja ambulans meninggalkan rumah itu mereka semua bergerak ke kereta untuk menyusul ke hospital.
Malam ini hati Tengku Hisham berani mengatakan yang kebahagiaan akan menjadi milik anaknya kembali, dia yakin itu. Insya-Allah




download ep 30

follow admya di facebook

Comments