Pintu bilik Tengku Aqilah diketuk perlahan, tidak sampai seminit Farhana sudah menjengukkan kepalanya.
“Boleh aku masuk?” Farhana meminta izin.
Tengku Aqilah yang sedang berbaring di sofa hanya mengangguk. Farhana bersimpuh di atas permaidani. Wajah Tengku Aqilah dipandang.
“Cuba ceria sikit, tak bestlah kalau birthday girl muka macam asam kecut aje. Dari siang tadi kau asyik berkurung dalam bilik. Tak habis lagi ke marah kau pada Ryan?” Farhana memulakan cerita dalam usaha untuk memujuk.
Tengku Aqilah menghelas nafasnya perlahan.
“Malaslah nak cakap pasal dia. Dia pun dah pergi kan? So anggap ajelah kisah aku dengan dia dah tamat.” Serius suara Tengku Aqilah.
Farhana menepuk lembut tangan sahabatnya.
“Azrul dengan Shafiq baru sampai. Semua orang nak celebrate birthday kau malam ni. Kau janganlah ikutkan sangat marah tu, aku percaya Ku Ryan tak terniat langsung nak menggores hati kau. Dia cuma fikirkan yang terbaik buat kau aje. Sepatutnya hari ni kau raikan dengan suami kua bukannya kau halau dia pergi macam tu.
Tapi tak apalah perkara pun dah berlaku kan, yang penting sekarang kebahagiaan kau. Okeylah, aku keluar dulu, dah nak Maghrib ni. Lepas solat kau keluar ya. Kalau kau tak ada mood sekalipun, kau lakukanlah demi papa kau. Jangan bagi dia risau, kau sayangkan dia kan?” Lembut Farhana memujuk sahabatnya. Perlahan-lahan pintu biliknya ditutup.
Tengku Aqilah masih tidak bereaksi, cuma satu pandangan kosong di arah pada dinding di hadapannya.
Tengku Ryan Ameer begitu resah sekali, hujan sudah turun dengan menggilanya. Teksi yang dinaikinya sudah pun masuk ke kawasan kampung, namun hujan yang lebat ditambah pula jalan yang sedikit berlopak menyukarkan pemandunya menambah kelajuan. Tengku Ryan Ameer melirik pada jam tangannya, sudah pukul 9 malam.
“Allah, pokok tumbanglah pulak. Macam mana ni Ku Ryan? Haii… bukan Ku Ryan aje yang tak boleh nak balik, Abang Mat pun tak boleh balik ni,” ujar Abang Mat yang juga merupakan jiran sekampung.
Tengku Ryan Ameer menggeleng. Seketika terdengar dia mengeluh, “Tak ada jalan lain ke bang nak ke rumah pak mentua saya tu?” soal Tengku Ryan Ameer pula dengan suara yang mula gusar.
“Ini ajelah jalannya. Abang pun tersadai dah ni. Abnag Mat ingat baik kita patah balik ajelah Ku Ryan. Masa-masa hujan lebat macam ni tak ada siapa yang nak datang nak alihkan pokok tumbang. Ku Ryan nak Abang Mat hantar ke hotel ke?”
Tengku Ryan Ameer sudad meraup wajahnya, hampa dan kecewa rasa hatinya jika dia tidak hadir sama di majlis hari jadi isterinya. Walaupun Tengku Ryan Ameer sedar isterinya sudah membenci dirinya, namun dia sanggup menelannya, yang penting dia perlu sentiasa berada di sisi isterinya, lebih-lebih lagi di hari yang penting sebegini.
Bungkusan yang berbalut kemas di dalam beg plastik itu dipandang. Jam tangannya dibukan dan disimpan ke dalam beg plastik yang sama. Akhirnya Tengku Ryan Ameer bersuara, “Abang Mat, saya ingat saya jalan kaki ajelah. Lagipun tak jauh, kubut pun dah nampak tu,” ujar Tengku Ryan Ameer.
Abang Mat terperanjat mendengarnya.
“Biar betul Ku Ryan, dahlah gelap, hujan pulak tu. Abang Mat pun tak ada lampu suluh nak bagi pinjam. Payung pun boleh terlupa nak bawak. Lebih baik jangan Ku Ryan bahayalah…” larang Abang Mat.
Tengku Ryan Ameer sudah memasukkan not RM50 di kocek baju Abang Mat.
“Ehh… banyak sangat ni Ku Ryan, nanti kejap Abang Mat bagi duit tukar.”
Namun Tengku Ryan Ameer sudah keluar dari kereta, sebelum pergi dia sempat lagi menoleh pada pemandu teksi itu. “Tak apa bang, saya ikhlas,” ujarnya lalu terus meredah hujan lebat.
Dengan hanya bergantung pada silauan kilat yang sesekali menyinar, Tengku Ryan Amer terus memacu langkah dengan laju. Lampu jalan bukannya tak ada tapi telah terpadam gara-gara petir yang kuat Maghrib tadi. Sebaik sampai ke kawasan perkuburan, Tengku Ryan Ameer sempat lagi mengukir senyuman. Impiannya hendak meraikan hari jadi isterinya semakin tercapai, bungkusan plastik makin erat dipeluk. Khuatir sungguh dia jika barang yang istimewa di dalamnya basah.
Namun entah macam mana dalam dia mengatur langkah itu Tengku Ryan Ameer bolehkan tidak perasan ada beberapa biji bata yang bersepah di tepi jalan. Akibatnya, kaki Tengku Ryan Ameer terus tersadung lalu bungkusan plastik yang dipegangnya terus tercampak masuk ke dalam longkang besar.
“Ya Allah hadiah isteri aku! Dalam tu pun ada jam!” Cemas suaranya, pantas dia berlari mengejar bungkusan plastik yang semakin laju dibawa arus itu.
Hujan semakin lebat, sesekali terdengan dentuman guruh. Dalam masa Tengku Ryan Ameer mengejar bungkusan plastiknya, kakinya tergelincir ke dalam longkang.
“Ya Allah, Ya Allah,” ucap Tengku Ryan Ameer cemas.
Dia cuba untuk berpaut pada akar-akar yang melata pada rumput di tepi jalan itu namun arus yang begitu laju menarik tubuhnya Bersama. Tengku Ryan Ameer sudah tenggelam timbul dibawa arus deras. Beberapa batang kayu terus menghentam kepalanya. Nafasnya makin tercungap, pandangan matanya makin kelam, wajah sendu isterinya terlayar di matanya.
“Ya Allah, Ya Allah, Ya Tuhanku… Selamatkanlah aku, Ya Allah,.. Berilah aku peluang untuk menjaga isteriku Ya Allah… Berilah aku peluang untuk terus berada di sisinya Ya Allah… Kasihanilah isteriku Ya Allah… Sesungguhnya dia telah reda dengan dugaan-Mu sebagaimana aku juga telah reda dengan dugaan yang telah tersurat untuknya. Aku mohon pada-Mu Ya Allah, hanya kau yang berkuasa, hanya pada-Mu aku meminta pertolongan… Allahhuakbar! Allah…” doanya di dalam hati.
Di kala nafasnya terasa makin sesat, dia merasa ada tangan yang memaut bajunya. Perlahan-lahan tubuhnya ditarik keluar dari longkang besar itu.
“Encik, encik, encik okey ke?”
Tengku Ryan Ameer perlahan-lahan membuka matanya. Setitis demi setitis air mata berderaian di pipinya. Terus tangannya di angkat tanda kesyukuran.
Alhamdulillah, syukur Ya Allah… Syukur kerana memakbulkan doaku, ucapnya sendu.
“Encik macammana, boleh bangun ke?” tanya seorang lelaku muda dalam linkungan umur 20-an.
Rakannya yang bertopi di sebelah turut memandang Tengku Ryan Ameer yang sudah mengerutkan wajah menahan sakit barangkali.
“Terima kasih dik… Terima kasih selamatkan saya. Kalau adik berdua tak ada tadi, tak tahulah apa nak jadi,” ucap Tengku Ryan Ameer perlahan. Dia sudah bangun dan dua orang pemuda itu membantunya untuk berdiri.
“Banyak luka badan abang ni. Dahi abang pun berdarah tu,” ujar pemuda bertopi itu pula.
Tengku Ryan Ameer menyentuh dahinya perlahan. Terus wajahnya dikerutkan, sakit pastinya.
“Abang tinggal kat mana biar kami tolong hantarkan,” ujar pemuda bertopi itu menawa diri.
Tengku Ryan Ameer menggeleng.
“Tak apa dik, tak apa. Budi adik selamatkan abang pun rasa tak terbalas dah. Dah dekat sangat dengan rumah. Terima kasih ya dik, terima kasih banyak-banyak…” ucap Tengku Ryan Ameer lagi. Dia sempat bersalaman dengan mereka sebelum menyambung perjalannnya.
Tengku Aqilah masih lagi berdiri di muka pintu yang terbuka luas itu. Matanya asyik merenung ke jalan. Entah mengapa dia merasa tidak sedap hati sedari tadi. Memang dia marahkan suaminya namun dalam cuaca buruk begini Tengku Aqilah tetap risaukan keselamatan suaminya, apatah lagi bila Azrul Botak memberitahu yang suaminya ada menghubunginya selepas Maghrib tadi yang dia dalam perjalanan ke sini.
Jika dalam perjalanan mengapa sampai sekarang belum sampai lagi?
“Qila, buat apa berdiri depan muka pint utu? Kilat kat luar tu bahaya. Mari masuk,” ajak Tengku Natasha.
Tengku Aqilah masih jua terkaku.
“Kak, kenapa Ryan tak sampai lagi? Qila risaulah kak.” Jelas kerisauan terpamer di wajah Tengku Aqilah.
“Qila…”
Tengku Aqilah menoleh pada Shafiq yang sudah pun berdiri di sebelah istertinya.
“Tadi Pak Hasan beritahu Abang Fiq, kawan dia call katanya ada pokok tumbang di jalan nak masuk sini. Memang kereta tak boleh masuk buat masa ni. Jadi Abang Fiq rasa maybe Ryan pun terkandas kat luar sana. Abang Fiq cuba call dia tapi line dia tak dapat. Rasanya Ryan tidur di hotel malam ni. Qila jangan risau. Insya-Allah tak ada apa-apa...” Shafiq menenangkan adik iparnya pula.
Tengku Natasha sudah tersenyum pada adiknya.
“Dahlah Qila jangan risau lagi. Jom kita makan. Hari tu masa Kak Tasha nikah Qila tak sempat rasa nasi beriani ‘kow’ masakan Kak Bong dengan Mak Kiah. Hari ni mereka masak khas untuk Qila. Kek tu bila nak potong, atau Qila nak tunggu Ryan esok?” Ceria suara Tengku Natasha.
Tengku Aqilah tersenyum pada kakaknya.
“Potong ajelah kek tu kak. Kalau tunggu esok dah tak best pulak. Nanti bahagian Ryan, Qila simpankan.” Lembut Tengku Aqilah menjawabnya.
Tengku Natasha mengangguk perlahan. Dia yakin jauh di sudut hati Tengku Aqilah, kasihnya pada suaminya itu tidak pernah padam walaupun beribu kali kata benci dilafazkan. Mereka beriringan masuk ke ruangan makan dengan lengan Tengku Aqilah dipaut erat oleh kakaknya.
Mereka yang lain sedang menjamu selera. Farhana dan Azrul Botak hanya mampu pandang-memandang sahaja maklumlah Mak Kiah dan Pak Hasa ada sama. Kak Kembong dan Tuti pula sibuk menambah makanan dalam bekas yang kosong.
“Mari makan nak. Qila jangan risau pasal Ryan. Pokok tumbang kat jalan, tu yang dia tak dapat datang sini.” Tengku Hisham pula memujuk anaknya.
“Qila tahu pa, Abang Fiq beritahu tadi. Okey semua, Qila nak potong kek, tak payah nyanyilah ya. Hujan pun dah lebat takut kalau nyanti nanti lagi lebat turun.” Sempat lagi Tengku Aqilah bergurau, semua ketawa mendengarnya.
Dengan bacaan bismillah, Tengku Aqilah memotong kek coklat yang juga dibuatkan khas oleh Kak Kembong. Berbakat betul kakak angkatnya tu. Tengku Aqilah memotong sekeping kek lalu diserahkan pada papanya. Tengku Hisham tersenyum senang.
“Selama hari lahir sayang… Semoga Allah panjangkan umur anak papa dan moga Allah melimpahkan rahmat dan kebahagiaan dalam hidup Qila. Papa sayang Qila…”
Tengku Aqilah terharu mendengarnya, terus pipi papanya di cium “Qila pun sayang papa…” bisiknya lembut.
Tengku Natasha mendekati adiknya.
“Happy birthday dik, Kak Tasha pun sayang Qila…” Pipi adiknya dicium.
“Qila pun sayang kakak Qila yang cantik ni,” balas Tengku Aqilah.
Tengku Natasha hanya tersenyum mendengarnya. Tengku Natasha mengambil alih memotong kek, lalu disusun ke dalam piring.
Tengku Aqilah dipeluk oleh Mak Kiah, Farhana dan tidak ketinggalan Kak Kembong. Shafiq dan Azrul Botak serta Pak Hadan menjadi pemerhati sahaja, yang pasti mereka semua sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Tengku Aqilah.
Tengku Aqilah melabuhkan punggungnya di kerusi. Kek di dalam piring dipandang sayu. Ingatan pada suaminya menyerbu kembali. Alangkah indahnya jika suaminya turut berada di sini, ingin sekali dia menyuapkan kek ini ke mulut suaminya. Sebak sungguh hatinya sat ini. Sempat lagi dia menoleh pada keluarga dan rakan-rakannya yang kelihatan sedang leka berbual itu.
Perlahan-lahan Tengku Aqilah mengangkat piring keknya itu lalu dia bergerak ke dapur. Tengku Aqilah pasti mereka tidak menyedari kehilangannya buat masa ini. Elok kakinya mencecah lantai dapur, air mata yang ditahan sedari tadi menitis jua akhirnya. Dalam Tengku Aqilah leka melayan perasaannya dia melihat Tuti masuk ke dapur bersama tuala di tangan.
“Tuti, nak buat apa tuala tu, awak nak mandi lagi ke?” soal Tengku Aqilah dengan wajah pelik.
Tuti sedikit terkejut mendengar suara Tengku Aqiah itu, pantas dia mengurut dadanya.
“Aduh, rasa mau tercabut jantung Tuti Cik Qila. Enggak bukan Tuti yang mahu mandi, tapi Ku Ryan…”
“Apa?” soal Tengku Aqiah sedikit bingung.
“Aduh, Ku Ryannya ada di luar, bagaimana ya may di jelasin…”
Tengku Aqilah terus mengambil tuala di tangan Tuti tanpa bertangguh dia melangkah ke pintu dapur. Kepalanya dijengukkan sedikit ke luar. Bagaikan nak tercabut jangungnya melihat suaminya sedang menahan kesejukan di luar sambil memeluk tubuhnya dan yang makin menggoncang jantungnya itu bila melihat baju kemeja suaminya yang sudah koyak-rabak. Seluar sleknya turut koyak, tubuhnya penuh dengan luka, masih terdapat sisa darah di dahi suaminya.
Tengku Aqilah serasa ingin meraung sahaja. Pantas dia menutup mulutnya yang mula teresak itu. Air mata begitu laju menuruni pipinya. Suaminya masih tidak perasankan dirinya. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum bersuara, “Abang…” Sebak suaranya.
Tengku Ryan Ameer terus mengangkat wajahnya.
“Sayang, kenapa bukan Tuti yang bawak tuala ni? Abang kacau Qila tengah makan ya? A… bang tahu, abang tak diundang sayang, ta… tapo abang nak sangat raikan hari jadi sayang, sebab tu abang datang jugak. Abang jalan kaki, pokok tumbang kat luar teksi tak boleh lalu tapi…” Tengku Ryan Ameer terhenti seketika, suaranya mula sebak.
Tengku Aqilah sudah merenung suaminya tidak berkelip. Air mata yang luruh di pipi dibiarkan sahaja.
“Abang tersadung batu, hadiah sayang terjatuh dalam longkang. A… abang cuba nak ambik tai arus terlampau kuat. Abang sendiri tergelincir jatuh dalam longkang. Ini yang luka satu badan, tapi abang tak kisah tu, yang abang ralat sangat abang tak dapat selamatkan hadiah sayang dan jam tangan yang sayang beri, abang ingat letak dalam plastik lebih selamat tapi…
Ya Allah, kenapalah abang tak pernah dapat buat yang terbaik untuk Qila? Kenapalah Qila tak bertuah macam perempuan lain sayang, abang…” Tengku Ryan Ameer sudah tidak mampu menghabiskan ayatnya, dia menyeka air matanya.
Tengku Aqilah sudah menangis semahu-mahunya.
“Dah sayang… abang tahu abang cuai. Abang tak berhati-hati jaga hadiah sayang, abang janji esok…”
Tangan Tengku Aqilah pantas menutup mulut suaminya. Esakannya main kuat terus tubuh suaminya dipeluk erat.
“Qila, badan abang basah ni, abang kotor sayang… Jangan macam ni sayang,” tegah Tengku Ryan Ameer.
Tengku Aqilah makin mengeratkan pelukannya.
“Qila tak nak hadiah tu bang, Qila hanya nak abang… Kenapa abang ambik risiko sampai macam tu, apa makna hadiah tu semua bang kalau jadi apa-apa pada abang tadi? Macam mana dengan Qila? Macam mana dengan anak kita bang? Qila sayang abang… Qila tak sanggup kehilangan abang…” esak Tengku Aqilah.
Tengku Ryan Ameer turut lencun dek air mata, dahi isterinya dikucup berkali-kali.
“Abang pun sayang Qila, abang pun tak sanggup kehilangan Qila. Abang pun sayangkan anak kita. Jangan sama sekali Qila tuduh abang macam tu lagi. Jangan ragu kasih sayang abang pada anak abang Qila. Kalian lebih berharga dari nyawa abang sendiri. Ingat sampai bila-bila sayang…”
Tengku Aqilah merenung kasih wajah suaminya. Kata-kata suaminya itu begitu menyentuh lubuk hatinya, terus tubuh suaminya didakap lagi.
Rupanya bukan mereka berdua sahaja ketika itu. Ahli keluarga yang lain turut sama menyaksikan penyatuan semula dua hati itu.
“Qila…” panggil Tengku Natasha.
Tengku Aqilah meleraikan pelukan pada suaminya.
“Kek…”
Tengku Aqilah memandang wajah kakaknya sebaik piring kek itu dihulurkan padanya.
“Kak Tasha tahu ini impian Qila. Kak Tasha perasan masa Qila ke dapur tadi, Qila sedih kan sebab Ryan tak ada. Tunaikanlah impian Qila dik,” ujar Tengku Natasha lembut.
Tengku Aqilah mengambil piring kek itu. Wajah suaminya dipandang dengan kasih yang mendalam.
“Qila tak mampu nak telan kek ni bang. Tekak Qila tak boleh terima selagi abang tak merasanya dulu.”
Dengan penuh kasih dia menyuapkan kek coklat itu ke mulut suaminya. Tiada kata-kata yang mampu untuk diucapkan oleh Tengku Ryan Ameer di kala ini. Hatinya dipagut sayu yang teramat.
Dalam masa yang sama, Tengku Ryan Ameer mencubit pula kek itu lalu disuapkan pula ke mulut isterinya.
“Selamat hari lahir sayang. Abanglah lelaki yang paling bertuah kerana memiliki sayang sebagai isteri,” bisik Tengku Ryan Ameer di telinga isterinya.
Tengku Aqilah begitu bahagia mendengarnya.
“Inilah hadiah hari lahir yang paling berharga dalam hidup Qila. Tengku Ryan Ameer adalah anugerah Tuhan yang tiada nilainya. Qila bertuah menjadi isteri abang. Qila sayang abang…” Terus pipi suaminya dicium.
Tengku Ryan Ameer terkedu seketika. Lama matnya menatap wajah insan yang sentiasa menggetarkan hatinya itu. Perlahan-lahan dia menggenggam tangan isterinya lalu tangan itu dikucup penuh kasih.
“Terima kasih sayang, terima kasih…” Terpancar kebahagiaan di wajahnya.
“Hai bertuah kau Ryan, jatuh dalam longkang pun bini sanggup peluk. Aku hari tu jatuh dalam longkang kat depan tulah, mintak tarik naik pun tak nak layan,” Azrul Botak sempat pula meluahkan rasa.
Tengku Aqilah yang sedang mengelap tubuh suaminya sudah tergelak. Tengku Ryan Amer hanya tersengih mendengarnya.
“Siapa nak layan jatuh longkang sebab main laying-layang. Tak romantik langsung! Nasiblah, dahlah badan tu habis dengan lumut, mandi dengan clorox seminggu pun belum tentu hilang bau lagi. Heeii… geli aku!” Farhana sudah membuat gaya geli-gelemannya.
Yang lain sudah ketawa. Tengku Hisham turut tersenyum. Matanya masih tidak lepas memandang anak bongsu dan menantunya yang begitu jelas riak kebahagiaan di wajah mereka. Pelupuk matanya yang berair dilap perlahan.
Tengku Aqilah sudah berbaring beralaskan lengan suaminya. Dia dapat merasakan pelukan yang semakin erat itu.
“Sayang…” panggil suaminya.
Tengku Aqilah mengangkat wajahnya. Muka suaminya dipandang, sempat lagi dia memegang plaster yang melekat di dahi suaminya.
“Sakit lagi tak bang?” soalnya lembut.
Tengku Ryan Ameer menggeleng. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Dahi isterinya dicium kasih.
“Siang tadi masa abang balik rumah, abang jumpa Kak Midah, terkejut dia bila abang cakap sayang duduk kampung sebab nak bersalin. Yalah dia kan ingat sayang ada di US. Dia ada offer nak jaga anak kita nanti.”
Tengku Aqilah sudah mengangkat keningnya. “Okey jugak tu bang,” katanya.
“Okey tu memanglah okey sayang, tapi bukan bermakna sebab sayang kerja tau yang menyebabkan Kak Midah kena jaga anak kita. Abang nak Kak Midah bantu sayang waktu siang, lepas bersalin nanti abang tak nak sayang kerja lagi. Abang nak isteri abang ni rehat sepenuhnya, tak perlu lagi terbeban fikir masalah kerja. Cukup tahun ambik aje profit 20 peratus tu.”
Tengku Aqilah sudah mengerutkan dahinya.
“Kenapa? Sayang ingat syer 20 peratus tu dah tukar nama abang? Tanah rumah ni abang beli sebagai hadiah pada sayang. Kasih sayang abang tak boleh ditukar ganti tau. Okey kita sambung balik cerita pasal baby. Bila waktu malam abang akan bantu sayang jaga baby, kalau sayang nak tidur pun tak apa, abang boleh jaga sorang, yang penting isteri abang ni sihat, okey?”
Tengku Aqilah terdiam mendengarnya. Penuh kasih pipi suaminya diusap.
“Bang, abang tak takut ke meletakkan harapan sejauh tu?” Sendu suara Tengku Aqilah.
Tengku Ryan Ameer mengucup tangan isterinya.
“Tak sayang, abang tak takut, sebab kita ada Allah. Abang yakin dengan kekuasaan Allah. Tak ada perkara yang mustahil dalam dunia ni, jika sudah itu ketentuan-Nya. Percayalah sayang, Allah tidak akan menghampakan doa hamba-Nya. Yang penting kita jangan putus asa untuk terus berusaha.
Lepas tu kita berdoa dan bertawakal pada-Nya. Insya-Allah doa kita akan dimakbulkan. Ingat sayang, berpantang maut sebelum ajal. Selagi kita masih lagi bernafas tidak kira bagaimana keadaan kita, kita adalah sama dengan manusia lain di muka bumi ini. Ajal bukan urusan kita, penyakit hanya sebagai penyebab jika ajal kita telah tiba.” Begitu bersemangat Tengku Ryan Ameer menasihatkan isterinya.
“Tapi bang, kalau Qila sihat semula pun Qila dah tak sempurna seperti perempuan lain. Qila dah tak boleh jadi isteri yang terbaik pada abang lagi.” Sayu suara Tengku Aqilah.
Tengku Ryan Ameer menghela nafasnya lembut. Pipi isterinya diusap. Pandangan mereka bertaut lama. Tengku Ryan Ameer menggeleng perlahan.
“Abang harap perkataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir keluar dari mulut sayang. Kata-kata Qila tu abang rasakan seperti racun yang menghancur lumatkan hati abang. Qila jangan hina cinta abang sampai macam tu sekali sayang. Jangan nilai kasih abang berlandaskan nafsu. Nilai kasih abang di sini, dalam ni…”
Apalah ertinya kesempurnaan jika isteri abang tak ada lagi di sisi. Sehingga ke saat ini cinta abang pada sayang tak pernah goyah. Tolong jangan hina lagi cinta abang sayang. Jangan pertikaikan lagi cinta abang. Janji ya sayang? Janji ya…” Sebaik suara Tengku Ryan Ameer.
Tengku Aqilah tidak mampu membendung kesedihannya. Dia merebahkan kepalanya di dada suaminya dengan esakan yang panjang.
“Dah sayang, dah tu… Abang sayang Qila… Abang akan sentiasa berada di sisi sayang. Kita akan berjuang sama-sama ya sayang, demi anak kita, demi kasih kita… Qila harus terus berjuang, ingat tu ya sayang,” bisik suaminya rapat di telinga isterinya.
Tengku Aqilah mengangguk perlahan. Malam itu buat pertama kalinya selepas disahkan menghidap kanser payudara, Tengku Aqilah tidur dengan tenang dan lena. Erat dalam rangkulan suaminya.
Moga hari esok akan memberi sinar baru dalam hidup mereka.
layan..
ReplyDeleteJemput singgah tgk entry terkini k.. :)
1. SEGMEN JOM TUKAR2 BLOGLIST DARI EJULZ
2. Cara nak atasi masalah tak papar entry terkini kat bloglist