join admya di FB

15 jenis makanan dilarang dijual di kantin sekolah

Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan ‘tidak sihat’ yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan.




Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.




Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan seperti nasi goreng,mee sup,ketiow sup termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.






Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu.






Beliau berkata, cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.






“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian semalam.






Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan, peraturan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi menangani peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.






Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar. Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat.




Usaha ini setidak-tidaknya menunjukkan bahawa kerajaan berusaha dalam mengurangkan gejala diabetes dan obesiti dan pemakanan yang tidak sihat di kalangan pelajar.Kini giliran ibu bapa pula,memastikan pemakanan yang seimbang di rumah. Selain itu,penjaja-penjaja di luar sekolah juga patut dipantau agar mereka juga turut mematuhi  larangan tersebut.


Sumber: Berita Harian

Baca juga:

Obesiti di kalangan kanak-kanak Malaysia

Comments