Namun seperti biasa, baik Yusry Abdul Halim mahu Lisa Surihani mengunci rapat bibir mereka. Kesempatan bertemu si gadis ketika menjayakan aktiviti Aksi Extreme Sofy di sebuah pusat beli belah membuka ruang merungkai persoalan. Tampak ceria ditemani ibu tercinta, secara lembut Lisa meminta segala persoalan berkaitan perkahwinan mahu pun isu penyiaran majlis bahagia mereka diajukan kepada buah hatinya. Masih enggan mengakui atau menafikan kesahihan perkara itu, Lisa menjelaskan biarlah Yusry yang akan menjawab sebarang kemusykilan namun hanya selepas tamat penggambaran filem terbarunya, Vikingdom, Disember ini.
“Saya rasa lebih elok sekiranya pertanyaan mengenai perkahwinan kami itu dijawab sendiri Yusry yang sebelum ini sudah berpesan supaya menyerahkan perkara itu (soal perkahwinan) kepadanya.
“Cuma beri dia minta sedikit masa lagi kerana mahu menyempurnakan dulu penggambaran Vikingdom. Mengenalinya, dalam soal kerja dia memang jenis yang akan menumpukan sepenuh perhatian,” katanya yang kembali dari Turki bulan lalu menjayakan penggambaran filem terbaru, Istanbul Aku Datang.
Tegasnya, bukan mahu berdolak dalih tetapi sebagai wanita adalah kurang manis jika dirinya yang bersuara apatah lagi dia dibesarkan dalam norma masyarakat Timur yang penuh adat dan kesopanan.
Cuma apabila diajukan pertanyaan mengenai rungutan beberapa pihak yang menyatakan sukar menghubungi kebelakangan ini, dengan tegas pelakon yang menjadi wajah ekslusif Astro itu bersuara sekali gus menidakkan kenyataan terbabit.
Penyandang gelaran Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) berkata, selama ini sesiapa pun boleh menghubungi MIG Talents & Management atau ibunya dan barangkali situasi seperti itu berlaku ketika dia menjalani penggambaran di Istanbul.
“Tiada sebab untuk saya mengelakkan diri dengan media. Mungkin ketika itu saya sedang menjalani penggambaran di sana. Namun selepas kembali ke Kuala Lumpur, saya masih boleh ditemui. Macam di majlis seperti ini.
“Jangan risau, saya masih Lisa Surihani yang dulu. Tidak sedikit pun timbul rasa kecewa atau terkilan sebaliknya menganggap ia sekadar usikan untuk mengingatkan saya,” kata selebriti jelita itu lagi.
Berbalik kembali ke kisah buah hati, senyumannya terus berbunga menandakan kebahagiaan yang melingkungi kehidupan apatah lagi percintaan mereka mendapat restu kedua-dua keluarga.
Apakah kualiti yang ada pada pengarah Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang membuatkannya dipanah pesona, dengan lancar akuinya kebijaksanaan si jejaka mencairkan hatinya.
“Kami boleh berbicara apa jua topik. Dia seorang yang menyenangkan dan barangkali kematangan dan kebijaksanaannya antara yang menambat saya. Saya banyak belajar dengannya termasuk kerja belakang tabir,” tambahnya yang beberapa kali ke lokasi Vikingdom.
Memaklumkan kunjungan itu sebagai dorongan kepada kekasihnya dan pada masa membuka peluang kepada Lisa mempelajari sedikit sebanyak kerja produksi terutama pengarahan.
“Sebenarnya saya suka dengan tugasan belakang tabir. Bukan bermakna dua, tiga tahun tahun lagi saya mahu menjadi pengarah tetapi ilmu yang kita cedok bermanfaat untuk kerjaya lakonan juga,” katanya lagi yang memaklumkan Yusry memintanya datang sebagai peneman.
Ditanya apakah tempoh perkenalan yang belum pun setahun sudah cukup untuk mereka mengenali hati budi masing-masing apatah lagi dengan status duda yang disandang Yusry?
Dengan tenang, ulasnya sedari awal faktor usia mahu pun tempoh perkenalan bukan penghalang untuk mereka memeterai perhubungan ke fasa selanjutnya, begitu juga dengan sejarah lalu.
Dirinya sendiri pernah melalui hubungan panjang dengan seorang jejaka tetapi takdir menentukan segala-galanya apabila ia terputus di pertengahan jalan tetapi dia redha kerana setiap kejadian punya hikmah tertentu.
Begitu juga apabila bertemu, mengenali dan berkasih dengan Yusry, kata Lisa sejak awal lagi mereka sudah saling memahami malah tiada sebab untuknya meragui perhubungan mereka hanya disebabkan sejarah perkahwinan Yusry yang lalu.
“Baik saya mahu pun Yusry, kami enggan mengenang kisah silam. Biarlah sejarah hanya tinggal sejarah. Lagi pun tiada insan yang sempurna dalam dunia ini. Kami menerima antara satu sama lain dengan seadanya.
“Ya, kami masih di tahap mengenali hati budi. Bagi saya semua ini adalah sebuah proses. Selagi kita bersama orang yang kita sayang, kita tidak akan pernah berhenti untuk terus mengenali dirinya walaupun selepas berkahwin nanti,” katanya penuh bermakna.
Menyentuh mengenai projek dua filem terbaru bersama KRU Studio, Tingkat 4 dan Ular, Lisa berkata jika tiada aral penggambaran filem terbabit hanya akan dimulakan tahun depan.
Menegaskan lagi tawaran itu bukan disebabkan perhubungannya dengan Yusry malah watak dalam kedua-dua filem itu nanti adalah bersandarkan kesesuaian.
sumber: Berita Harian
Comments
Post a Comment
haip.nak kena ni.anonymous tak diterima.comment as pilih name/url then letak nama.boleh kan yunk.tq