Keikhlasan Yang Sesat!
Bismillahirrahmanirrahim.....
Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang lelaki tua untuk menguruskan beberapa hal. Sebagai orang muda saya tidak bercakap banyak sebaliknya mengiakan sahaja apa jua yang dinyatakan oleh pak cik itu. Sedang asyik berbicara soal dunia, tiba-tiba pak cik itu mula menyelit unsur-unsur agama dalam pertuturannya.
Kata-katanya mengecewakan saya apabila beliau menyentuh hal berkaitan solat. Katanya:
“Anak-anak pak cik kata mereka tidak pernah nampak pak cik solat. Memang benar! Pak cik tidak solat depan orang. Seandainya tetamu datang ke rumah pak cik, pak cik akan melayannya dan tidak akan sesekali meninggalkannya untuk menunaikan solat. Buat apa pak cik nak tunjuk kepadanya yang pak cik mahu solat? Itu sudah jadi tidak ikhlas. Anak-anak pak cik tak pernah nampak pak cik solat kerana pak cik hanya menunaikan solat dalam bilik. Waktu tidak ada orang tengok!”
Beliau sanggup meninggalkan solat dari menunaikan solat depan orang. Katanya lagi solat tidak perlu diganti jika tertinggal. Yang penting ialah jaga hati kita biar ikhlas semasa menunaikannya. Inilah kefahamannya tentang Ikhlas.
Dalam satu kes yang lain, seorang profesor yang mengajar di salah sebuah pusat pengajian tinggi menyebut bahawa beliau tidak membenarkan anak perempuannya memakai tudung meskipun anak perempuannya itu meminta-minta untuk bertudung. Katanya:
“Ayah tidak akan benarkan kamu memakai tudung selagi kamu tidak ikhlas untuk memakainya. Kalau setakat memakai tudung kerana mengikut pakaian kawan-kawan, baik kamu tak payah pakai tudung.”
Bagaimanapun setelah digesa anaknya beberapa kali untuk memakai tudung akhirnya dia akur dan benarkan anaknya bertudung kerana menurutnya kini beliau benar-benar yakin bahawa anaknya memang ikhlas berbuat demikian.
Inilah yang dimaksudkan dengan keikhlasan yang sesat. Ramai orang menganggap bahawa tiada amalan tanpa keikhlasan dan sering menggunakan ayat ini sebagai perisai:
Tiada guna amalan yang kita lakukan jika tidak ikhlas! Aku nak solat ke tak nak solat ke itu hak aku dengan Allah. Buat apa aku nak pamer pada orang?Atau..Buat apa memakai tudung kalau hati tidak ikhlas? Baik tunggu hati benar-benar ikhlas barulah memakai tudung.
Malang sungguh hidup mereka. Inilah akibatnya apabila manusia mula merasakan dirinya pandai dalam hal-hal agama sedangkan mereka tidak mahu menuntut ilmu agama itu sendiri. Manusia kadang-kadang sesat dalam agama bukan kerana kebodohannya, tetapi kerana terasa dirinya pandai menggunakan akal memahami maksud firman ilahi.
Kefahaman tentang ikhlas jika diukur dengan logik, ia seharusnya difahami begini:
Tidak berguna keikhlasan di hati apabila perintah Allah dimurkai dan tidak guna membuat amalan apabila hati tidak ikhlas.
Apalah guna mendabik dada tentang amalan ikhlas jika suruhan Allah diingkari? Adakah Allah pernah menyebut bahawa sesiapa yang merasa dirinya tidak ikhlas maka tidak perlu menunaikan perintah-Nya yang wajib seperti solat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya? Sudah tentu tidak! Justeru itu dari manakah datangnya kefahaman mereka bahawa jika tidak ikhlas, kita tidak perlu menunaikan kewajipan yang telah Allah tetapkan?
Ia datang dari rasa kebijaksanaan mereka memikirkan idea logik tentang agama. Padahal mereka sebenarnya diperbodohkan oleh syaitan untuk menyesatkan diri mereka semata-mata. Nauzubillah… Semoga mereka diberi hidayah..
Wallahualam.....
sebuah perkongsian untuk permantapan rohani..(^_^)
Comments
Post a Comment
haip.nak kena ni.anonymous tak diterima.comment as pilih name/url then letak nama.boleh kan yunk.tq