Ep 23 Lafazkan Kalimah Cintamu



Terluka kerana Aqilah, Ryan menghilangkan diri. Oh No!


Dia terus menujuk ke keretanya. Tidak sampai 5 minit kereta Tengku Ryan Ameer hilang dari pandangan.
Tengku Aqilah terus terduduk dengan esakan yang panjang. Tengku Hisham sudah merenung Tengku Natasha dengan mata yang semerah biji saga.
“Sekarang kau pulak junjung al-Quran ini Natasha! Kalau betul yang kau katakan kau dan Ryan pernah melakukan perkara yang terkutuk tu, aku nak kau junjung kitab suci tu Natasha!” Begitu keras suara Tengku Hisham.
Tengku Natasha sudah bangun, dia terus melutut di kaki papanya dengan suara yang teresak.

“Maafkan Tasha pa. Tasha minta maaf… Tasha takut pa. Tasha tak nak junjung al-Quran tu. Tasha dah tipu Qila, Tasha buat cerita palsu pada Qila. Kami tak pernah sampai melakukan zina, tapi Tasha terdesak. Tasha tak nak kehilangan Ryan. Tasha tak sanggup tewas di tangan Aqilah. Maafkan Tasha pa…” Tengku Natasha sudah teresak-esak di tepi kaki papanya.
“Kau cerita pada aku, apa sebenarnya yang dah berlaku Tasha! Aku nak kau ceritakan yang sebenar-benarnya Natasha, cakap Natasha!!!” Makin keras suara papanya.
Tengku Aqilah hanya tersandar lemah di kerusi dengan matanya yang sudah membengkak itu.
Tengku Natasha sempat lagi mengelap hingusnya sebelum bersuara. “Sebenarnya Tasha memang dah plan nak kenakan mereka. Bila Tasha tahu Ryan akan ke Jepun Tasha terus minta cuti untuk pergi ke sana jugak. Tasha ingat hanya dengan cara begitu sahaja Qila akan mula berasa curiga pada suaminya.
Semasa di sana Tasha buat seolah-olah kami terjumpa secara kebetulan di lobi hotel dan masa makan petang Sherry kawan Tasha sengaja tumpahkan air ke baju Azrul dan semasa Azrul ke bilik air, Tasha pura-pura nak pinjam handphone Ryan, atas alasan handphone Tasha ada problem sikit. Since handphone kami sama senang sikit Tasha nak check.
Masa Azrul kembali semula dia hendak naik ke bilik, masa tu Tasha tukar phone Ryan dengan Tasha. Ryan tak perasan, dia terus masukkan di dalam poket seluar dan Tasha memang yakin Qila pasti akan call malam nanti, jadi bila Qila call Tasha yang jawab dan Tasha katakana yang Ryan ada di dalam bilik air,” Tengku Natasha makin tersedu.
Tengku Hisham tidak berkelip memandang anaknya. Tengku Aqilah hanya mendengar seperti manusia yang tidak ada perasaan sahaja.
“Tasha reak cerita, Tasha kata Ryan yang minta Tasha menemaninya di sini dan Tasha kata yang kami dah terlanjut dan sentiasa hidup bergelumang dengan dosa. Masa tengah cakap dengan Qila, Ryan datang ke bilik Tasha, kalau Qila dengar suara Ryan di kala itu dia sebenarnya hanya berdiri di muka pintu minta balik phone dia yang disangkanya Tasha telah tersalah ambil.
Masa bagi phone ni Tasha tipu Ryan, Tasha kata tadi Qila call dan Tasha dah terangkan hal yang sebenar mengenai insiden bertukar phone tapi Qila tak percaya dan terus matikan talian. Ryan cemas sungguh waktu tu, tapi Tasha bahagia sungguh di kala itu. Bahagia sebab Tasha dah berjaya hancurkan hidup mereka dan yang lebih penting Tasha dah hancurkan hidup Qila. Tasha betul-betul puas masa tu, puas sangat,” ujar Tengku Natasha dengan suara yang bergetar.
“Dan selepas apa yang dah berlaku ni kau betul-betul puas tak Tasha, atau kau masih sakit hati sebab adik kau masih lagi bernywa depan kau? Atau lepas ni kau berfikir nak racun dia pulak, biar dia terus hilang di muka bumi ni? Waktu tu baru kau benar-benar berpuas hati kan Tasha?” Sinis kata-kata Tengku Hisham.
Tengku Natasha sudah mengangkat wajahnya yang sudah merah.
“Sejak Qila hadi dalam hidup papa, Tasha nbi semuanya salah di mata papa. Semua orang sayangkan Qila, sampaikan kekasih Tasha sendiri boleh berpaling dari Tasha dan menukar kasihnya pada Qila. Kenapa tak ada seorang pun nak faham hati dan perasaan Tasha? Kenapa pa? Kenapa papa buat Tasha macam ni? Selama ni papa tatang Tasha bagai minyak yang penuh tapi tiba-tiba Tasha dicampak macam tu saja.
Kenapa pa, kenapa? Tasha tak nak buat macam ni, tapi papa dan Ryan yang memaksa Tasha untuk melakukannya. Kalian tak pedulikan Tasha lagi, papa tak pedulikan Tasha lagi,” luah Tengku Natasha dengan suara yang tenggelam timbul oleh tangisan.
Tengku Aqilah sudah meletakkan tangannya di dahi dengan sikunya diletak pada palang kerusi, air mata masih laju membasahi pipinya.
Tengku Hisham sudah menggeleng, bibirnya sedikit terketar.
“Anggaplah papa yang bersalah dalam hal ini Tasha. Anggaplah papa puncanya yang menyebabkan kau tergamak pergi sejauh ini. Kesilapan papa yang cukup besar kerana telah memanjakan kau keterlaluan, menatang kau bagai minyak yang penuh dan tanpa papa sedar yang minyak itu nanti akan melecurkan tubuh papa sendiri dan sekarang papa dah pun rasa sakitnya. Sakit sangat Natasha.
Setiap kali apa jua yang berlaku pada diri kau, telunjuk kau lurus menghalakan ke arah orang lain, tidak pernah sekali pun kau nak mengakui kesalahan kau sendiri. Sampaikan kau melakukan kekejaman pada adik kau sendiri pun kau masih tidak teragak-agak meletakkan kesalahan itu di bahu orang lain. Hebat sangat ke kau Tasha? Bagus sangat ke kau, sampai langsung tidak pernah melakukan kesilapan?” luah Tengku Hisham dalam nada yang penuh kekesalan.
Tengku Natasha sudah memegang paha papanya.
“Kalau papa tak suka Tasha di rumah ni papa cakap, Tasha boleh tinggalkan rumah ni dan lepas tu Tasha tak akan muncul lagi dalam hidup papa dan anak kesayangan papa ni. Papa cakap papa, itu yang papa nak ke?”
Tengku Hisham terus menolak tangan anaknya dari memegang pahanya, terkejut Tengku Natasha melihatnya.
“Jangan kau sentuh aku Natasha! Selagi kau tak insaf, aku haramkan kau dari menyentuh tubuh aku! Kalau tadi Ryan rasa terhina pada diri dan keturunannya atas tuduhan yang dibuat pada dia, aku lagi-lagi terhina Natasha, begitu terhina dengan perbuatan kau yang tak bermaruah itu. Kau sanggup mengaku melakukan zina Natasha! Zina! Hanya semata-mata kerana dengki dan busuk hati kau pada adik kandung kau sendiri. Kau bukan saja letakkan maruah kau di tapak kaki tapi kau juga dah pijak-pijak lumat maruah aku Natasha di tapak kaki kau!
Hina sangat ke aku sebagai papa kau Natasha sampai kausanggup Malukan kau sampai macam ni sekali? Mana aku nak letak muka aku bila jumpa arwah adik aku, kat sana nanti? Kau tak kesian ke pada arwah mama kau Natasha? Kau gadai maruah kami macam tu aje! Ya Allah, inikah kifarah yang aku terpaksa tanggung… Malunya aku… Kau tabahkanlah aku Ya Allah. Kau kuatkanlah iman aku…” Tengku Hisham sudah menangis teresak-esak.
Tengku Aqilah terus menerpa papanya, tubuh papanya dipeluk seeratnya.
“Dahlah pa, ini semua salah Qila. Semuanya salah Qila. Kalau Qila dapatkan penjelasan Ryan mesti semua ni tak berlaku. Qila yang salah pa. Qila yang gagal jadi isteri yang baik pa… Qila tak percaya pada suami sendiri, Qila puncanya pa,” ujar Tengku Aqilah dalam sedu-sedan.
Tengku Hisham mengusap lembut rambut anaknya.
“Kalau Qila dapat menjelasan dari Ryan pun, hati papa ni tetap tergores nak. Hati papa tetap terluka nak, darah daging papa sendiri sanggup mencemarkan maruah diri dan keluarganya, hanya kerana mengikut kata-kata iblis durjana!
Tasha, aku tak halau kau keluar dari rumah ni, tapi aku jugak tak melarang kau pergi dari sini. Tapi kau ingat, kalau kau melangkah keluar dari rumah ni. Jangan kau balik selagi kau tak mengenal erti keinsafan dan satu waktu bila kau teringat akan aku sebagai papa kau, kau ingatkan Tuhan dulu! Kau minta ampun dan bertaubat di atas segala dosa-dosa kau tapi kalau kau tetap nak teruskan dengan sikap sombong dan bongkak kau, aku akan anggap anak aku Natasha sudah mati!” ujar Tengku Hisham dengan suara yang perlahan namun penuh dengan kelukaan.
Tengku Natasha sudah menggeleng, dengan mengelap air mata yang makin laju membasahi pipi dia terus berlari masuk ke dalam rumah. Tengku Aqilah terus melentokkan kepalanya di bahu papanya itu dengan esakan yang sesekali kedengaran.
Lebih kurang 20 minit, Tengku Natasha dilihat sudah keluar menjinjing beg pakaian, terus dia menuju ke keretanya dan tidak sampai beberapa minit kereta Tengku Natasha pula hilang dari pandangan. Tengku Hisham dan Tengku Aqilah hanya mampu untuk memandang sahaja dengan kesedihan yang masih menyelubungi diri mereka.

Tengku Natasha sedang menikmati makan tengah hari bersama teman-teman kaki pembodeknya di salah sebuah hotel yang terkemuka di ibu kota. Namun selera makannya bagaikan hilang bila dia diajukan soalan oleh Sherry yang didakwanya sebagai kawan baiknya itu.
“Tasha, berapa lama pulak you nak merajuk kali ni?”
Tengku Natasha terus mencampakkan sudu di atas pinggan makan, berdenting bunyinya.
“You jangan bagi I ingat insiden tu lagi boleh tak? Sakit hati I bila teringat plan yang tak menjadi tu. I ingatkan bila I cakap macam tu perempuan tak guan tu akan lari dari rumah. Yalahkan, I ingat mesti demi kesihatan papa dia sanggup rahsiakan saja perkara tu, tapi perhitungan I silap, perempuan tu memang dasar manusia pentingkan diri!
Dia boleh bocorkan segalanya. You all tahu tak, teruk I kena marah dengan papa I tau. Kalau Ryan I dapat bayangkan betapa bencinya dia dengan I tapi yang itu I tak kisah sebab perempuan tu pun kena tempiasnya sekali. I yakin dari cara Ryan cakap hari tu dia tak akan terima budak tak guan tu!” terang Tengku Natasha, sempat lagi dia menyedut fresh orangenya.
Sherry, Marry dan Mona, tiga perempuan Melayu yang perasan nak jadi mat saleh celup itu sudah berpandangan sesama mereka dengan bahu yang diangkatkan. Tengku Natasha sudah mencebikkan bibirnya.
“Kali ni I bukan saja merajuk tapi I dah lari dari rumah yang macam neraka tu! I tak akan balik ke rumah tu selagi perempuan tak guna tu duduk dalam rumah tu. Kalau papa rindukan I dan nak I balik, dia kena halau perempuan tu dari situ! Tak apa yang penting seakrang ni I happy, I ada duit beb. Pada I, itu dah lebih dari cukup. In fact pagi tadi I dah suruh akauntan peribadi papa I, Uncle Rashid masukkan duit RM100,000 ribu dalam akaun I. Lepas ni kita pergi shopping puas-puas.” Suara Tengku Natasha sudah bertukar cerai, senyuman mula menghiasi bibirnya.
Sherry sudah menaikkan keningnya pada Marry di sebelahnya. Cara dia menjongketkan bibirnya seperti menyuruh Marry memasukkan daun atas ideanya yang telah dirancang malam tadi. Marry sempat lagi berdehem dengan senyuman yang manis, dia memandang Tengku Natasha.
“Tasha, emm… you kan selalunya tak suka shopping kat sini. Lagipun setahu I kalau you tension, you kan selalu pergi overseas. You tak nak pergi bercuti ke, kalau you perlu kawan, we all boleh temankan.”
Tengku Natasha sudah tersenyum sinis mendengarnya, namun belum sempat dia bersuara Mona pula menambahkan ramuannya.
“Yalah Tasha, tak kan you nak terperap kat kondo Si Sherry tu aje. Kita pergi Itali nak? Kita kan belum pernah ke sana lagi. Nanti you calllah Carl suruh dia join sekali,” ujar Mona dengan gediknya.
Sherry hanya tersengih mendengarnya.
“Exceuse me pembetulan bukan kondo si Sherry tapi kondo sugar daddy dia. I cakap dengan you all tau, I memang jahat tapi sejahat-jahat I, I tak semudah itu menyerahkan diri pada sesiapa. I masih jaga untuk suami I, sebab tu I dah banyak kali cakap dengan Si Sherry ni jangan gadaikan body semata-mata hendakkan harta lelaki, tapi dia degil. By the way pasal Carl tu I dah lama tak contact dan tak melayan bila dia contact I, I tak nak fikir lelaki buat masa ni. I nak enjoy puas-puas,” balas Tengku Natasha.
Sherry sudah menjuihkan bibirnya.
“You bolehlah cakap macam tu, papa you kaya, nak duit aje mintak. Macam I ni apa yang ada? Kena bagi pada parents I di kampung lagi adalah. Hanya itu aje jalan yang cepat untuk I hidup senang, tapi you tu pun tak ada baik mana pun Tasha oiii… You lupa ke yang you sanggup mengaku you dah terlanjur dengan Ryan semata-mata hendak sakitkan hati adik you. Memang you tak pernah buat tapi bila you mengaku dah buat, perbuatan you tu tak dosa ke? I tak pandai sangat pasal agama ni, I just give my opinion okay,” bidas Sherry pula.
Mencerlung mata Tengku Natasha memandang sahabat baiknya itu. Tengku Natasha tahu apa yang dia lakukan itu memang salah dan berdosa tapi tidaklah sampai seperti sahabatnya yang boleh dikatakan saban hari bergelumang dengan noda. Entahlah, bukan dia hendak menunjuk baik mahupun pandai tapi Sherry adalah rakannya semasa di sekolah menengah lagi, jadi kalau boleh dia tidak sanggup untuk melihat sahabatnya itu terus hanyut. Tapi jika Sherry masih dengan kedegilannya apa yang di aboleh lakukan lagi? Kubur masing-masing kan? Sendiri jawablah.
Pandai pun Si Tasha ni menyebut pasal kubur, bukan kubur itu berkaitan dengan mati ke? Tak kan dia tidak sedar yang dia juga akan mati satu hari nanti? Dosa orang lain dia nampak, dosa sendiri boleh tutup mata macam tu aje. Itulah namanya manusia kan?
Marry dan Mona sudah berpandangan sesame mereka. Risau juga jika makin melarut pertelingkahan ini, harapan mereka untuk bercuti di luar Negara akan musnah begitu sahaja.
Marry pantas mencelah, “Heii, you all. Dahlah tu, sekarang ni kan masa kita nak enjoy. Dah-dah, so macam mana Tasha? You setuju ke dengan idea nak ke Itali tu?” soal Marry penuh pengharapan.
Tengku Natasha pura-pura berfikir, keningnya dikerutkan dan perlahan-lahan senyuman terus terukir di bibir.
“You call travel agency yang kita selalu pergi tu, ni kad kredit I. You bagi number kat diorang,” arah Tengku Natasha dengan suara yang ceria.
Yang lain sudah menepuk-nepuk tangan gembira. Buta betul Si Tasha ni dalam memilih kawan ya…
Tanpa berlengah Marry terus mendail nombor travel agency. Tengku Natasha leka berbual dengan Sherry dan Mona. Sesekali mereka tertawa gembira. Namun kegembiraan cuma seketika bila Marry dengan muncung yang panjang sedepa, merengus pada Tengku Natasha.
“Apa ni Tasha, kerani tu kata kad kredit kau tak boleh guna. Isyh… buat malu aku ajelah,” gerutu Marry terus telefon bimbitnya diletak dengan kasar atas meja.
Tengku Natasha sudah berkerut.
“Tak kanlah, selama ni papa mana pernah tak bayar bil aku. Aku nak call bank. Saja aje diorang ni nak kena maki dengan aku,” dengus Tengku Natasha.
Terus dia mendail, lama jugak dia menunggu di talian sebelum suara seorang perempuan mengucapkan selamat tengah hari padanya.
“I nak you check apa masalah dengan kad kredit I. Tiba-tiba aje tak boleh guna ni, apa hal?” Kasar suara Tengku Natasha.
Selepas dia memberikan segala butir yang dikehendaki, Tengku Natasha begitu terkejut bila dia dimaklumkan oleh pihak bank yang kad kredit disekat kerana terdapat tunggakan yang tidak diselesaikan dan dia telah di sarankan oleh pihak bank untuk menyelesaikan tunggakn itu terlebih dahulu sebelum kad kredit boleh digunakan semula. Tanpa ucapan terima kasih terus talian dimatikan.
Tengku Natasha sudah mengetap giginya geram.
“Asyik sangat melayan Si Qila tak guna tu sampai kad kredit aku pun bolehlupa nak suruh Uncle Rashid bayar,” rengus Tengku Natasha.
“You all dah sudah makan? Jom I nak pergi ATM kat luar tu. Nak keluarkan duit, I bayar cash aje nanti.” Tengku Natasha melangkah pergi dengan wajah yang masam. Setiba di mesin ATM dia terus menekan pin nombornya dan sekali lagi bagaikan hendak gugur jantungnya bila melihat angka yang tertera di situ RM2,000 sahaja.
“Hisy… lembab betul orang tua ni. Nantilah kau, bila aku dah berbaik dengan papa, aku suruh dia pecat kau!”
Dengan hati yang mendidih dia terus menelefon akauntan peribadi papanya. Sebaik saja mendengar suara Uncle Rashid belum sempat lelaki sebaya papanya itu memberi salam, sumpah seranah Tengku Natasha yang menjadi mukadimahnya dulu.
“Uncle ni kenapa? Dah nyanyuk ke sampai jadi pelupa macam tu punya terus sekali atau dah tak reti bahasa? Kan saya dah suruh masukkan duit? Mana duit tu? Lembab? Terhegeh-hegeh buat kerja! Saya bagi masa 5 minit aje, saya tau duit tu dah dimasukkan. Kalau tak mulai esok jangan datang kerja lagi! Saya suruh papa pecat uncle…”
Belum sempat Tengku Natasha mematikan talian, Uncle Rashid pantas bersuara, “Sorry ya, Cik Tasha, sebab uncle ni dah terlebih reti bahasalah uncle tak bank inkan duit tu atas arahan Engku Sham. Anything you call Engku Sham okey.”
Terus talian dimatikan. Terlopong mulut Tengku Natasha mendengarnya. Wajahnya sudah semakin pucat, dengan jantung yang berdegup kencang dia terus mendail nombor telefon bimbit papanya namun hampa talian telefon tidak dijawab. Tengku Natasha mendail lagi, masih situasi yang sama.
Mungkin papanya tertinggal telefon bimbit di dalam bilik dan sekarang berada di ruang tamu bawah, Tengku Natasha memujuk hatinya. Terus nombor rumah didail. Lama juga dia menunggu dan pengakhirannya suara garau-garau ayu Kak Kembong bergema.
“Assalammualaikum…”
Namun dijawab kasar oleh Tengku Natasha. “Walaikummusalam, Bong panggil papa, cepat-cepat!” arah Tengku Natasha dengan teramatlah berlagaknya.
Kak Kembong saja mendengus sekuat hati di corong telefon. Mak oii… dah macam bunyi seladang betina hilang pakwe. Bingit telinga Tengku Natasha mendengarnya.
“Tak payahlah nak suruh aku panggil Engku, dia pesan kalau Natasha yang telefon cakap dia tak ada. Alaha senang cerita dia tak nak bercakap dan dengar suara kau yang tak merdu tu. Lagi satu Engku cakap beritahu Si Tasha tu berani buat berani tanggung. Belajar sikit pikul tanggungjawab. Pau kacang basi punya anak!”
Kak Kembong bagaikan dapat menangkap yang Tengku Natasha hendak menjawab terus dia menyambung lagi, “Bukan aku cakap tau Tasha. Enkgu yang cakap. Jangan telefon lagi ya, aku nak makan. Kalau kau telefon pun aku tak akan angkat. Assalammualaikum…”
Terus Kak Kembong meletak telefon. Hakikatnya Tengku Hisham hanya menyuruh dia memberitahu yang Tengku Hisham tidak mahu bercakap dengan anaknya itu tapi Kak Kembong telah mengambil kesempatan yang ada menambahkan lagi sepatah dua kata sesuka hati dia sahaja.
Tengku Natasha sudah menjerit geram, “Heiii!!”
Beberapa orang yang berada di mesin ATM sudah memandang. Perempuan gila manalah ni, mesti itu yang difikirkan oleh mereka. Dengan hati yang mendongkol geram dan rasa marah yang teramat Tengku Natasha terus mendapatkan rakan-rakan pembodeknya.
“Papa I dah tahan semua duit i. I tahu dia sengaja nak uji I aje tu. Esok mesti dia akan bank in kan duit. Papa I begitu sayangkan I dia tak kan sanggup tengok hidup I susah. Jom balik!”
Tengku Natasha sudah menuju ke kereta BMW 3 seriesnya namun sebaik dia hendak membuka pintu kereta, dua orang lelaki berbadan gempal sudah menahannya. Terbeliak Tengku Natasha melihatnya.
“Apa hal ni?” tanyanya kasar.
Lelaki yang berkulit hitam manis itu terus bersuara, “Maaf cik, kami ni wakil dari pihak bank dan diarahkan untuk menarik kereta CIk… Natasha, ini Cik Natasha kan?”
“Tengku Natasha!” Pantas Tengku Natasha menjabwanya. Dah pokai pun ada hati berlagak lagi perempuan ni.
“Okey Tengku boleh serahkan kunci. Ini dokumen dari pihak bank. Kereta ni tak dibaway selama 3 bulan, so kalau tak puas hati kea tau apa pun masalah bincang terus dengan pihak bank ya,” ujar lelaki itu lagi.
Dengan kesasaan dua orang lelaki penarik kereta itu, tidak berani pula Tengku Natasha hendak melawannya. Cuma sebelum si penarik kereta itu hendak masuk ke dalam keretanya sempat lagi Tengku Natasha membuat lagaknya.
“Korang ni memang silaplah. Korang tak tahu siapa aku, aku Tengku Natashalah anak kepada CEO Megah Holdings, Tengku Hisham, tahu tak? Sekadar nak bayar RM15,000 sebulan tak ada hal tau, papa aku nak bayar, kacang aje. Kau cakap dengan orang bank tu tunggu surat saman aku!”
Lelaki itu hanya tersenyum.
“Kacang ke, aiskrim ke, kami tak tahulah Tengku. Tengku berurusan dengan pihak bank ya.” Dengan wajah selamba terus dia masuk ke dalam kereta dan tidak sampai seminit kereta itu hilang membelah jalan raya.
Ketiga-tiga rakan pembodeknya sudah memandang Tengku Natasha dengan pandangan yang menjengkelkan.
“So, sekarang ni you consider brokelah ya? Pokai… Emm… buang masa aje plan beria-ia, habuk pun tak ada. Apa lagi yang you all tercegar kat situ balik naik teksi ajelah,” gerutu Sherry lalu terus menahan teksi yang kebetulan lalu.
Marry dan Mona sudah membuat muka meluat. Tengku Natasha hanya mengekori dengan langkah yang longlai. Mudah-mudahan selepas ini adalah sikit cahaya keinsafan ya?

download ep 23

follow admya di facebook

Comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...